Setakat ini, pada 8 dan 15 Ogos 2021, kerajaan telah mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial dan ekonomi bagi individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap. Semalam, Perdana Menteri telah mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincang dan mempertimbangkan cadangan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal MKN untuk memperluaskan lagi kemudahan sektor sosial dan ekonomi terutamanya bagi negeri-negeri yang berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sehingga semalam, sebanyak 51.6 peratus atau 12,079,978 daripada keseluruhan populasi dewasa negara ini, setakat semalam sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19 masing-masing. Pencapaian JKJAV ini adalah lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu 31 Ogos 2021.

Selain itu, seramai 17,806,570 yang mewakili 76.1 peratus populasi dewasa di negara ini direkodkan menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian itu. Keputusan melonggarkan SOP yang dibuat pada hari ini mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, Sidang Khas MKN semalam telah bersetuju untuk memberikan kemudahan-kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 PPN mulai hari ini, 20 Ogos 2021.

Aktiviti dine in kini dibenarkan

Kredit gambar: https://soyacincau.com/2020/10/16/cmco-klang-valley-dine-in-up-to-4-people-per-table-covid-19/

Negeri-negeri Fasa 1 PPN kini turut dibenarkan untuk dine in di kedai makan, sama seperti negeri-negeri di dalam Fasa 2 dan Fasa 3. Namun begitu, kerajaan menyarankan agar pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

Selain itu juga, pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk aktiviti dine-in diwajibkan untuk menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap. Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan juga dibenarkan dengan mematuhi SOP.

Aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan

Kredit gambar: https://www.golfpass.com/travel-advisor/articles/reaction-whats-been-your-golf-experience-during-the-pandemic

Aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan juga dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN. Namun begitu, ianya terpakai di dalam daerah yang sama sahaja. Aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

Selaras dengan kebenaran aktiviti dine-in, restoran atau kafe di premis club house kini boleh dimanfaatkan untuk aktiviti tersebut. Namun begitu, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house masih tidak dibenarkan.

Aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya. Selain itu juga, aktiviti yang dibenarkan juga termasuklah perkelahan dan perkhemahan. Kanak-kanak yang berusia 17 tahun dan ke bawah adalah juga dibenarkan untuk menyertai aktiviti ini dengan pematuhan SOP yang ketat.

Kebenaran operasi pasar minggu dan pasar malam

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/671661/lega-pasar-malam-dibenarkan-beroperasi-metrotv

Pelonggaran SOP terakhir adalah berkait dengan sektor perdagangan dan pengedaran. Operasi pasar malam dan pasar minggu di negeri-negeri Fasa 1 PPN kini dibenarkan oleh Sidang Khas MKN mulai hari ini, 20 Ogos 2021. Individu yang telah lengkap divaksin adalah dibenarkan untuk ke pasar malam dan pasar minggu di kawasan masing-masing.

Pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis adalah diwajibkan untuk menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:

  1. Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Contohnya Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan
  2. Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Contohnya Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Nasihat dan pesanan Dr Noor Hisham

Semalam juga, Malaysia mencatatkan kes positif harian tertinggi dua hari berturut-turut apabila sebanyak 22,948 kes dilaporkan hari ini berbanding semalam, 22,242 kes. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsikan ringkasan laporan di akaun Facebook, berkata ketika ini jumlah keseluruhan kes jangkitan wabak tersebut adalah sebanyak 1,489,460.

Menurut beliau lagi, kelonggaran beberapa kemudahan untuk individu lengkap vaksinasi di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok, diberikan atas faktor ekonomi dan bukan kerana persekitaran sudah selamat daripada jangkitan wabak Covid-19. Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya terus memakai pelitup muka termasuk yang dua lapis jika perlu, mengamalkan penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

Elak tempat sesak dan sempit. Jaga diri dan segera mengambil suntikan vaksin.