Facebook sebelum ini dilaporkan sedang meneliti cadangan untuk membuka pendaftaran Instagram khas bagi kanak-kanak di bawah usia 13 tahun di Amerika Syarikat. Mark Zuckerberg sebelum ini bercakap di pendengaran Kongres Amerika Syarikat tentang cadangan ini dan memberi pandangan tentang kebaikan media sosial.

Menurut beliau lagi, terdapat banyak kebaikan bagi kanak-kanak untuk terus berhubung dengan kawan-kawan dan ahli keluarga mereka. Pada hemat Facebook, adalah lebih baik bagi mereka untuk menyediakan Instagram yang dikawal untuk kanak-kanak di bawah usia 13 tahun berbanding mereka menggunakannya secara penipuan identiti.

Nampaknya cadangan tersebut ditolak oleh 44 daripada 48 orang Peguam Negeri di Amerika Syarikat. Menurut kumpulan peguam tersebut, terdapat banyak lagi cara lain untuk kanak-kanak berhubung dengan rakan sebaya mahupun ahli keluarga mereka berbanding menggunakan Instagram. Kesan buruk akibat penggunaan media sosial seawal usia kanak-kanak juga dititikberatkan oleh mereka dengan kebimbangan masalah buli siber dan isu intipan oleh penjenayah seksual kanak-kanak.

Kebimbangan ini berasas kerana Facebook pernah memulakan aplikasi Messenger Kids pada tahun 2019 yang gagal mengawal kanak-kanak daripada menghubungi dan berkenalan dengan orang dewasa. Biarpun Facebook akhirnya menyelesaikan masalah tersebut, kemungkinan untuk isu yang sama timbul masih ada.