Kebiasaannya, bunga sakura dikaitkan dengan negara Jepun. Manakan tidak, bunga tersebut dianggap sebagai bunga kebangsaan bagi negara matahari terbit tersebut.

Bunga sakura dan Jepun

Kredit gambar: https://travel.rakuten.com/campaign/ranking/hanami/tokyo/

Bunga sakura mempunyai maksud dan perlambangan yang pelbagai buat masyarakat Jepun. Dengan pengaruh agama Buddha, masyarakat Jepun amat menghargai bunga sakura sebagai lambang kecantikan yang tidak akan kekal. Ia juga diabadikan di dalam syiling 100 yen.

Sehinggakan terdapat budaya hanami dalam kalangan masyarakat Jepun, iaitu menikmati keindahan bunga ini. Mereka akan keluar beramai-ramai untuk berkelah dan bergembira di taman-taman sehingga lewat malam sewaktu bunga ini mekar.

Puluhan juta pelancong yang datang ke Jepun saban tahun untuk menikmati keindahan bunga sakura ini. Shinjuku Gyo-en National Garden dan juga Ueno Park merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan mereka.

Bunga ‘sakura’ tekoma di Malaysia

Kredit gambar: https://www.thestar.com.my/lifestyle/travel/2021/03/26/where-can-malaysians-find-tecoma-blooms-malaysia039s-own-039sakura-trees039

Nama Saintifik: Tabebuia rosea, Tabebuia pentaphylla
Nama Tempatan: Tabebuia atau Tekoma
Nama Inggeris: Tecoma

Bunga ‘sakura’ Malaysia, atau nama sebenarnya tekoma, mula mendapat tempat di hati penggemar bunga ini sejak lapan tahun lalu. Negeri Kedah dilaporkan mempunyai 2,720 batang pokok ini.

Pokok ini akan berbunga mekar semasa cuaca panas terik mulai bulan Februari hingga April, dan kemuncaknya pada bulan Mac. Kebiasaannya ia akan kekal mekar selama seminggu sebelum gugur.

Tak boleh rentas negeri? Pokok bunga tekoma ada di mana-mana

Kredit gambar: https://says.com/my/seismik/tempat-menarik-di-malaysia-untuk-fefeeling-overseas

1 – Terengganu: Pokok ini banyak ditanam di kawasan Kampung Gong Tok Nasek. Ia juga banyak mekar dalam warna merah jambu, kuning dan putih di sekitar Chendering, Kuala Ibai, Seberang Takir dan beberapa lokasi di Gong Badak.

Kebiasaannya, pokok ini akan mengeluarkan bunga pada Mac hingga April di Terengganu.

2 – Putrajaya: Pokok tekoma di sini bersaiz sederhana besar dengan ketinggian 15 m – 20 m. Bentuknya seperti silara bertingkat-tingkat semasa muda tetapi menjadi padat, hampir bujur apabila pokok matang dan tua. Daunnya kerap luruh dan mempunyai bunga berwarna putih dan ungu. Kerap berbunga terutama sekali selepas daunnya gugur.

Banyak ditanam di kawasan perumahan di sekitar Presient 3.

3 – Sabah: Pokok ini banyak ditanam di daerah Tawau. Kawasan di Persiaran Traulsen berhampiran Jalan Pesisiran akan menjadi tumpuan ribuan pengunjung untuk menyaksikan keindahan musim bunga tekoma.

Pokok tekoma di Tawau berwarna merah jambu dan putih amat mempesonakan seolah-olah suasana musim bunga sakura di Jepun.

4 – Pulau Pinang: Pokok bunga tekoma di Pulau Pinang menambahkan lagi keindahan pulau tersebut dengan bunga berwarna putih, pink dan ungu. Seperti di Kedah, ia berbunga sewaktu cuaca panas terik antara bulan Februari dan Mac.

Pokok ini banyak ditanam di kawasan perindustrian Bayan Lepas dan juga di sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

5 – Pahang: Terdapat empat lokasi di Kuantan yang telah ditanam dengan pokok bunga tekoma sejak tahun 1990 lagi. Majlis Bandaraya Kuantan telah menanam 1,000 batang pokok ini dan berharap agar ia menjadi salah satu tarikan pelancong ke Kuantan.

Jalan Tanah Putih, Jalan Kubang Buaya dan Jalan Kuantan-Gambang merupakan tiga kawasan yang paling banyak ditanam dengan pokok ini. Terdapat tiga spesies pokok bunga tekoma yang ditanam iaitu jenis berbunga putih, merah jambu dan ungu.

Sumber: