Masalah kesihatan yang dialami kartel dadah yang paling dikehendaki di Mexico, El Mencho telah merintis kepada usaha dalam membina hospital persendirian di sebuah komuniti kecil tempat persembunyiannya.

Sehubungan dengan itu, El Mencho atau nama sebenarnya Nemesio Oseguera Cervantes telah membina sebuah hospital yang akan digunakan oleh dirinya sendiri, pengikut dari Jalisco Nueva GeneraciĆ³n Cartel (CJNG) dan juga buat penduduk setempat.

Hospital peribadi yang terletak di El Alchihuatl itu nyata amat penting buat El Mencho kerana dia kini sedang mengalami masalah kegagalan buah pinggang dan memerlukan rawatan berterusan dan secara berkala.

El Alchihuatl merupakan kawasan komuniti kecil didiami kira-kira 200 orang penduduk dalam negeri di barat Mexico, Jalisco dan hanya 50 kilometer dari Villa Purificacion, kubu kuat kumpulan CJNG yang dikepalai El Mencho sendiri.

Selain daripada penduduk setempat turut mendapat faedah daripada pembinaan hospital tersebut, inisiatif ini juga dapat mengelakkan El Mencho daripada menjadi buruan pihak berkuasa Mexico berhubung kegiatan pengedaran dadah kumpulannya.

Langkah yang diambil El Mencho itu nyata berbeza berbanding pesaingnya kerana kebanyakkan kartel dadah lain lebih memilih untuk mengupah doktor peribadi.

Seorang pakar pengkaji tentang jenayah terancang, Chris Dalby menegaskan bahawa El Mencho merupakan seorang ketua yang penuh dengan misteri.

”Dia [El Mencho] sangat berahsia. Dia langsung tidak mahu menunjukkan tentang dirinya. Berbeza dengan pesaingnya, seperti kartel dadah Sinaloa, Joaquin Guzman atau El Chapo.”

”Dia merupakan evolusi kartel dadah yang sengaja bersembunyi di sebalik bayangannya,” ujar Dalby bercakap kepada The Guardian.

Dalby turut mengakui El Mencho begitu dekat dengan masyarakat terutamanya pada sesiapa yang pernah menerima bantuan daripadanya.

Pada tahun 2015, cubaan pihak berkuasa untuk menangkap El Mencho di Villa Purificacion tidak kesampaian selepas ahli CJNG menembak jatuh helikopter yang digunakan tentera Mexico.

Kredit featured image: El Universal