Hubungan diplomatik antara dua buah negara merupakan dasar sesebuah kerajaan terhadap negara-negara lain. Ia bermaksud hubungan yang terjalin di antara dua atau lebih kerajaan.

Pada dasarnya, hubungan ini terbina atas dasar muafakat, kepercayaan, keserasian dan keinginan untuk menjayakan matlamat yang sama. Di dalam hubungan diplomatik ini, kedua-dua negara mahu menjaga kepentingan kerajaan masing-masing.

Namun, hubungan diplomatik ini juga boleh mengalami kerencatan dan diputuskan oleh satu pihak. Keadaan ini terjadi apabila segelintir pemerintah kerajaan tidak lagi terikat dengan nilai integriti. Dalam banyak keadaan, sesebuah negara yang melanggar prinsip-prinsip dan perjanjian tidak lagi diyakini oleh negara lain.

Begitulah kisahnya dengan hubungan diplomatik bagi negara Thailand dan Arab Saudi. Ia bermula secara harmoni, namun terjejas akibat skandal yang digelar sebagai Blue Diamond Affair.

Kecurian pertama oleh Kriangkrai Techamong

Kredit gambar: Reddit

Kisah ini terjadi pada tahun 1989, lebih tiga dekad lalu. Kriangkrai Techamong merupakan seorang imigran Thailand yang bekerja sebagai tukang cuci di dalam istana milik anak sulung Raja Fahd.

Ketika kejadian, Putera Faisal sedang bercuti selama tiga bulan. Maka, Kriangkrai yang menghafal selok belok istana putera diraja tersebut sedar itu merupakan masa terbaik untuk beliau mencuri barangan kemas milik majikannya.

Kriangkrai sebenarnya mengalami masalah kewangan yang serius. Beliau merupakan tahi judi yang mempunyai hutang dan mahu melangsaikannya. Kriangkrai juga sedar majikannya kerap membiarkan beberapa peti besi yang mengandungi emas dan barang kemas tanpa pengawasan.

Maka, ketika percutian Putera Faisal, Kriangkrai memberikan alasan untuk tinggal di dalam istana selepas waktu malam. Beliau mula mencuri barangan kemas tersebut dengan menggunakan pita pelekat dan menampal pada tubuh badannya. Selain itu juga, ada emas danpermata yang disimpan di dalam penyedut hampagas bagi mengelakkan dari dikesan.

Akhirnya, sebanyak 30kg emas dan permata berjaya dicuri oleh Kriangkrai dengan nilai hampir $20 juta. Malam tersebut, beliau menyembunyikan barangan curiannya di beberapa lokasi tersembunyi. Kemudiannya, barangan tersebut dihantar melalui kargo bersama-sama barangan peribadi miliknya pulang ke Thailand.

Bagi mengelakkan barangan tersebut digeledah oleh Kastam, Kriangkrai merasuah mereka dengan wang tunai. Beliau juga meninggalkan nota bahawa kargo ini mengandungi gambar lucah yang tidak perlu untuk digeledah. Maka, rasuah dan taktik tersebut berjaya.

Selepas kecurian tersebut disedari, Kriangkrai sudahpun tiba di Thailand. Kargonya juga telah berjaya dibawa masuk tanpa sekatan, hasil rasuah dan kelicikannya.

Tangkapan Kriangkrai Techamong 

Kredit gambar: Asean Now

Disebabkan beliau hanyalah seorang tukang cuci, Kriangkrai Techamong tidak mempunyai pengalaman untuk menjual hasil curiannya. Beliau terpaksa menggunakan khidmat orang tengah iaitu Santi Srithanakhan.

Perlu ditegaskan bahawa Arab Saudi merupakan kerajaan monarki mutlak. Maka, kecurian barangan kemas di istana putera diraja merupakan kes yang sangat serius. Setelah diketahui latar belakang Kriangkrai sebagai pencuri, kerajaan Arab Saudi menyalurkan maklumat tersebut kepada polis Thailand.

Maka, pada Januari 1990, Kriangkrai ditahan oleh polis Thailand. Kriangkrai bekerjasama dengan pihak polis Thailand dan memulangkan baki barang curian di dalam simpanannya kepada pihak berkuasa. Beliau juga menamakan Santi sebagai orang tengah yang menjual baki barangan tersebut.

Namun, ia membawa kepada masalah yang lebih besar.

Terpalit dengan salah guna kuasa

Kredit gambar: Andrew Drummond

Hasil daripada tangkapan Kriangkrai Techamong, polis mula menjejaki Santi. Lieutenant-General Chalor Kerdthes yang mengetuai siasatan berjaya menangkap Santi dan menyoal siasat beliau.

Penangkapan Santi membawa kepada penemuan sebahagian besar emas dan permata tersebut. Ia kemudiannya dipulangkan kepada kerajaan Arab Saudi. Namun begitu, sebenarnya lebih dari 50 peratus yang dipulangkan adalah barangan kemas palsu.

Beberapa hari sebelum perbicaraan, Santi telah diculik dan ditemui mati dibunuh. Anak lelaki dan isteri beliau turut terbunuh. Maka, kes tersebut kehilangan saksi utama yang boleh menamakan pembeli-pembeli lain.

Arab Saudi turut menghantar beberapa orang diplomat bagi menyiasat kes ini. Namun begitu, mereka hilang dari radar ataupun ditemui mati. Ini menimbulkan ketegangan hubungan diplomatik antara dua buah negara.

Selepas itu, tersebar pula gambar isteri-isteri kenamaan dan VIP Thailand bersama-sama barangan kemas yang dipercayai hasil kecurian tersebut. Maka, Arab Saudi sedar bahawa kes ini telah melibatkan salah guna kuasa oleh pihak berkuasa di Thailand sendiri.

Menemui jalan buntu

Kredit gambar: BBC

Arab Saudi akhirnya bertindak memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Thailand. Thailand ditukarkan status sebagai chargé d’affaires, dengan Arab Saudi tidak lagi memperbaharui visa pekerja baru untuk Thailand. 

Pada tahun 1989, seramai 150,000 hingga 200,000 pekerja Thailand bekerja di sana. Ia berkurangan kepada 10,000 pada tahun 2008. Selain itu juga, kerajaan Arab Saudi tidak menggalakkan rakyatnya untuk berkunjung ke Thailand.

Kriangkrai Techamong dihukum penjara selama tujuh tahun, dan dikurangkan kepada lima tahun. Beliau kemudiannya menjadi sami untuk tiga tahun kerana merasakan hidupnya terkena badi Blue Diamond.

Kerana salah guna kuasa, Lieutenant-General Chalor Kerdthes juga ditahan dan didakwa. Atas kesalahan membunuh, Chalor dihukum gantung sampai mati dan kemudiannya menerima Pengampunan Diraja.  Beliau menjalani hukuman penjara selama 50 tahun, yang kemudiannya dikurangkan kepada 15 tahun.

Sehingga hari ini, tiada lagi barangan kemas yang ditemui dan kes ini dianggap masih misteri.