Seorang Datuk Bandar di Mexico ditembak oleh sekumpulan geng kartel dadah di negeri Quintana Roo, selepas beliau mengarahkan bandarnya membuat sekatan jalan untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Media Mexico melaporkan Obed Duron Gomez, yang merupakan Datuk Bandar Mahahual ditembak ketika dalam perjalanan menuju ke perjumpaan dengan komuniti Xcalak.
Gomez pergi ke perjumpaan tersebut dengan menaiki minibas berwarna putih bersama beberapa individu lain. Ketika dalam perjalanan, beberapa individu tak dikenali menembak dari sebuah kereta yang dipandu bersebelahan dengan minibas tersebut.
Datuk Bandar tersebut disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas menjalani pembedahan di hospital.
Hasil siasatan polis menemui sejumlah 20 kartrij peluru di lokasi kejadian. Penembak bagaimanapun berjaya melarikan diri.
Media melaporkan Gomez sebenarnya sudah menerima beberapa nota ugutan dari satu geng kartel dadah Mexico sebelum hari kejadian. Geng penjenayah tersebut berang dengan perlaksanaan sekalatan jalan yang diarahkan oleh Gomez sehingga membuatkan mereka sukar untuk mengedar dadah.
Ketua Pendakwaraya Quintana Roo memberitahu pihaknya masih lagi sedang menyiasat kes ini dan motifnya belum dapat dipastikan.
Ada beberapa laporan yang mengatakan tembakan tersebut bukannya disebabkan oleh sekatan jalan. Sebaliknya ia merupakan tindakan balas dendam selepas polis menangkap lima anggota kartel dadah pada awal April lepas.
Di wilayah Xcalak, Quintana Roo, kartel tempatan mendapat bekalan dadah mereka dari kartel Colombia. Kartel Colombia biasanya akan menjatuhkan paket dadah dari pesawat ringan di pesisir laut sebelum dikutip sendiri oleh kartel tempatan.
Tetapi media melaporkan ada juga beberapa paket dadah yang kartel tempatan terlepas pandang, sekaligus memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mengutip dan menjualnya sendiri.
Bagaimanapun wabak COVID-19 yang melanda Amerika Utara ketika ini sedang memberi kesan kepada ekonomi Mexico, termasuklah aktiviti penjualan dadah.
Pihak berkuasa seluruh Mexico ketika ini sedang mengarahkan semua penduduk untuk menjalani kuarantin (seperti Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia) dan giat membuat sekatan jalan untuk menyekat pergerakan orang ramai.
Di Mexico, lebih 3,000 kes telah dicatatkan dengan angka kematian mencecah 194 setakat 9 April 2020.