Video di bawah menunjukkan keadaan Jambatan Humen di China yang berayun-ayun seperti ombak apabila ditiup angin – walaupun ketika jambatan tersebut dipenuhi dengan kereta.
Video ini menimbulkan persoalan – berapa banyak beban yang mampu ditampung oleh Jambtan Humen sebelum ia membahayakan nyawa orang awam? Soalan kompleks ini telah membingungkan jurutera sejak kewujudan jambatan suspensi.
Sebaik sahaja insiden ini berlaku, pihak berkuasa China segera menutup jambatan ini daripada akses pemandu kenderaan.
Insiden ini mengingatkan kita kepada insiden keruntuhan Jambatan Tacoma Narrows di Washington, Amerika Syarikat pada tahun 1940. Insiden tersebut boleh disaksikan dalam video di bawah:
Insiden keruntuhan Jambatan Tacoma Narrows berlaku kerana kombinasi tiga perkara:
- Kesilapan jurutera
- Bahan binaan yang tak berkualiti
- Kekurangan ilmu tentang fenomena ketidakstabilan aerodinamik.
Setiap jambtan mesti mempunyai ketahanan terhadap kemungkinan bengkok. Secara asasnya, setiap struktur binaan mesti mempunyai fleksibiliti dan ruang untuk bergerak sedikit. Kalau anda sedar, menara tinggi seperti KLCC pun akan berayun sedikit apabila ditiup angin. Begitu juga dengan jambatan suspensi.
Tetapi ayunan tersebut tidaklah sampai membahayakan.
Media China memberitahu Jambatan Humen telah pun diletakkan di bawah pengawasan. Hasil siasatan mendapati dinding penghalang setinggi 1.2m di dek jambatan tersebut telah menyebabkan gegaran vorteks.
Apa maksudnya?
Maksudnya adalah salah satu sebab jambatan suspensi tidak runtuh ditiup angin adalah kerana ia biasanya dibina untuk tidak menghalang laluan angin sebanyak yang mungkin. Apabila jurutera China menambah dinding baru setinggi 4 kaki di bahagian suspensi Jambatan Humen, ia membuatkan laluan angin menjadi terhalang.
Apabila angin terkena dinding ini, ia mencipta ruang vakum udara yang membuatkan jambatan berayun ke atas dan ke bawah. Memandangkan Jambatan Humen adalah sepanjang 3.6km, ia membuatkan fenomena ‘gegaran vorteks’ nampak jelas kelihatan.
Pihak berkuasa China kini sudah pun meruntuhkan dinding tersebut. Selepas menjalani satu lagi pemeriksaan keselamatan, Jambatan Humen kini sudah dibuka semula kepada semua kenderaan awam – kecuali bas lebih 40 orang dan trak melebihi 3 tan.