Apabila tular isu Kesatuan Eropah (EU) hanya mengiktiraf vaksin AstraZeneca yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA), ramai yang merasa bimbang. Ini kerana, berkemungkinan besar penerima vaksin AstraZeneca dari Malaysia tidak akan dibenarkan untuk masuk ke negara-negara Eropah apabila sempadan antarabangsa dibuka sepenuhnya kelak.

Sebenarnya Agensi Perubatan Eropah (EMA) telah memberikan kelulusan kepada vaksin AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Moderna, dan Johnson & Johnson. Namun begitu, badan tersebut tidak memberikan kelulusan kepada vaksin AstraZeneca yang dihasilkan oleh kilang SK Bioscience di Korea Selatan ataupun kilang Siam Bioscience di Thailand.

Kedua-dua kilang ini merupakan pembekal utama vaksin AstraZeneca yang dibeli oleh kerajaan Malaysia di bawah kerjasama COVAX.

Tindakan awal Malaysia berhubung isu ini

Kredit gambar: https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/06/30/khairy-new-astrazeneca-dosing-interval-to-be-announced-on-thursday-july-1

Sejak pertengahan bulan Mac lagi, kerajaan Malaysia dilaporkan akan berbincang dengan Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain membabitkan pengiktirafan semua jenis vaksin yang mendapat kebenaran penggunaan kecemasan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi mendapatkan pasport vaksin. Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), YB Khairy Jamaluddin, agak sukar jika hanya vaksin tertentu mendapat kelulusan bersyarat di EU atau mana-mana negara yang diiktiraf bagi membolehkan individu yang sudah menerima pelalian untuk mendapat pasport vaksin.

Pada pandangan beliau, sekurang-kurangnya jika vaksin yang diterima oleh rakyat Malaysia sudah mendapat kebenaran kecemasan daripada WHO, negara-negara lain sepatutnya sudah boleh mengiktiraf penggunaan vaksin tersebut.

Selepas isu sama tular semalam, YB Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa Malaysia akan meminta penjelasan lanjut daripada Kesatuan Eropah berhubung laporan bahawa Sijil Digital COVID-19 EU hanya mengiktiraf vaksin AstraZeneca yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA). Kerajaan Malaysia berharap tiada diskriminasi dari segi dari kilang mana vaksin itu datang kerana kilang AstraZeneca menggunakan formula yang sama, sama ada kilang di Eropah, India, Korea Selatan atau Thailand.

Menurut beliau lagi, tindakan EMA untuk mengasingkan kelulusan mengikut kilang penghasilan vaksin adalah tidak adil. Bagaimanapun, beliau akan mendapatkan penjelasan mengenai isu terbabit daripada EU melalui wakilnya di Malaysia.

WHO tidak bersetuju dengan pengenalan pasport vaksin

Kredit gambar: https://hk.asiatatler.com/life/eu-vaccine-passport

Sejak awal lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak pernah bersetuju dengan pengenalan pasport vaksin oleh beberapa buah blok negara. WHO tidak bersetuju dengan pengenalan pasport vaksin buat masa ini, dengan alasan ia mungkin akan memburukkan lagi masalah akses vaksin yang tidak adil dalam kalangan banyak negara.

Bercakap pada sidang media maya sempena Hari Kesihatan Sedunia, Pengarah Kecemasan Serantau untuk Wilayah Pasifik Barat WHO (WPR), Dr. Babatunde Olowokure, berkata walaupun mereka memahami pentingnya pemulihan ekonomi pelancongan antarabangsa negara, namun bekalan vaksin global ketika ini amat terhad untuk membolehkan sebarang pengenalan pasport vaksin.

Pendirian WHO ialah pihak berkuasa negara dan pihak berkuasa perjalanan tidak boleh memperkenalkan satu bentuk bukti vaksinasi Covid-19 untuk perjalanan antarabangsa sebagai syarat bagi pelepasan atau ketibaan di sesebuah negara. Bekalan global yang terhad adalah faktornya. Vaksinasi pilihan bagi pelancong boleh menyebabkan bekalan vaksin yang menyusut bagi mereka yang mempunyai risiko tinggi.

Amerika Syarikat juga menolak idea pasport vaksin

Kredit gambar: https://www.bbc.com/news/world-us-canada-56680309

Pentadbiran Amerika Syarikat juga menolak cadangan memperkenalkan pasport vaksin persekutuan sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19. Langkah itu bagi melindungi privasi dan hak rakyat negara tersebut.

Setakat April lalu, cadangan memperkenalkan pasport vaksin dipertimbangkan di seluruh dunia bagi memudahkan pergerakan individu secara selamat ketika memerangi pandemik Covid-19. Bagaimanapun, ramai yang mengkritik cadangan tersebut dan menganggap pengeluaran pasport vaksin itu sebagai satu bentuk diskriminasi.

Amerika Syarikat menyatakan bahawa negara itu tidak akan menyokong sistem yang menghendaki rakyat mereka membawa sebarang pengesahan. Menurut Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki, tidak akan ada pangkalan data vaksinasi persekutuan atau mandat persekutuan yang mewajibkan setiap orang mendapatkan satu bukti vaksinasi.

Ini kerana, kerajaan tidak akan menyokong sistem yang mengharuskan rakyat Amerika membawa pengesahan. Keutamaan dari kerajaan persekutuan adalah yang mana privasi dan hak orang Amerika harus dilindungi, dan sistem ini tidak akan digunakan terhadap orang awam secara tidak adil.