Pada sekitar tahun 1937, dua orang adik-beradik Richard dan Maurice McDonald memulakan perniagaan gerai hot dog. Gerai tersebut diberi nama “Airdome” yang bertempat di Arcadia, California. Tiga tahun kemudian, mereka memindahkan perniagaan tersebut ke sebuah kedai di San Bernardino, California. Kedai mereka menawarkan 25 jenis makanan berupa daging barbeku dan burger serta mempunyai 20 orang pekerja.

Richard dan Maurice McDonald bagaimanapun bukanlah yang bertanggungjawab membawa francais McDonald’s gah seperti hari ini. Individu yang melebarkan francais McDonald’s adalah Ray Kroc. Kini, McDonald’s merupakan sebahagian daripada revolusi makanan segera di dunia dengan 39,198 cawangan.

Semakin banyak rangkaian, semakin bertambah kerenah pelanggan yang perlu dilayani. Baru-baru ini, tular isu berkaitan setengah keping keju pada burger Filet-O-Fish. Rungutan pelanggan sehingga mengatakan McDonald’s kedekut untuk memberikan keju penuh.

Jadi, adakah francais dengan nilai RM537.69 bilion terlalu berkira untuk memberikan sekeping keju?

Resepi asal Filet-O-Fish hanya perlu separuh keju

Kredit gambar: McDonald’s

Sebenarnya, burger Filet-O-Fish tidak memerlukan kepada keju. Maka, ia bukanlah satu penjimatan kos kepada McDonald’s. Ia lebih kepada mengekalkan rasa asli burger tesebut.

Apabila sekeping keju penuh diletakkan di dalam burger, rasa sebenar Filet-O-Fish berubah. Separuh keping keju sudah memadai untuk menjadikan rasanya lengkap.

Ini berbeza dengan Cheeseburger yang resepinya memerlukan kepada rasa keju yang lebih. Ia bagi diseimbangkan dengan rasa daging lembu.

Kurang keju menjadikan Filet-O-Fish rendah kalori

Kredit gambar: Mashed

McDonald’s bukanlah kedai makan yang ideal bagi mereka yang sedang berdiet. Namun, Filet-O-Fish adalah pilihan yang ideal bagi mereka yang mahukan makanan yang rendah kalori.

Menurut laman web McDonald’s, Filet-O-Fish mengandungi 380 kalori dan 18 gram lemak. Sekiranya dibandingkan, Big Mac mengandungi 550 kalori dan McChicken dengan 400 kalori.

Sekeping keju McDonald’s mengandungi 50 kalori, maka separuh keping mengurangkannya kepada 25.