Rakyat Malaysia berhak untuk mendapat diskaun 50% bil elektrik TNB bermula dari April hingga September 2020 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Pada 27 Mac 2020 lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian diskaun tambahan kepada pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.
Kadar diskaun adalah di antara 15% hingga 50% bergantung kepada jumlah penggunaan elektrik masing-masing. Ini merupakan tambahan daripada diskaun 2% kepada pengguna domestik yang juga diumumkan oleh Perdana Menteri pada 16 Mac.
Menurut TNB, diskaun bil elektrik di bawah PRIHATIN adalah diberikan untuk tempoh enam (6) bulan mulai penggunaan elektrik 1 April sehingga 30 September 2020 untuk semua kadar diskaun.
Ini bermakna bagi bil elektrik yang diterima dalam bulan April dan meliputi penggunaan elektrik untuk bulan Mac 2020 dan April 2020, diskaun akan dikira secara prorata berdasarkan penggunaan dalam bulan April 2020.
Sekiranya bil yang diterima dalam bulan April 2020 hanya meliputi penggunaan sehingga 31 Mac 2020, tiada diskaun yang akan diterima oleh pengguna bagi bil tersebut.
Bagaimana untuk dapatkan diskaun 50% bil elektrik TNB selama 6 bulan?
Untuk mendapatkan diskaun 50% bil elektrik TNB selama enam bulan ini, apa yang anda perlu lakukan hanyalah memastikan penggunaan eletrik rumah anda tidak melebihi 200kWh sebulan.
Jika anda menggunakan antara 201-300kWh sebulan, anda akan menerima diskaun 25%.
Jika anda menggunakan antara 301-600kWh sebulan, anda akan menerima diskaun 15%.
Dan jika anda menggunakan lebih 600kWh sebulan, anda akan menerima diskaun 2%.
Jadi untuk menerima diskaun 50%, anda perlu periksa bahagian ‘Kegunaan (kWh/kW)’ bil elektrik terkini rumah anda (seperti dalam kotak merah gambar di bawah) dan pastikan ia tak melebihi angka 200 bermula April ini sehinggalah 30 September 2020 nanti.
Dalam erti kata lain, semakin jimat anda menggunakan elektrik, semakin tinggi diskaun yang anda akan dapat dari TNB.