Semalam, Parlimen Jerman secara rasminya melantik Olaf Scholz sebagai Canselor Jerman yang baharu. Lantikan beliau ini sekali gus mengakhiri tempoh pentadbiran selama 16 tahun yang diterajui oleh Angela Merkel.
Ini setelah parti pimpinannya, Demokrat Sosial meraih kemenangan terhadap parti konservatif pimpinan Angela Merkel. Menerusi pilihan raya yang diadakan September lalu, SPD bersama-sama Parti Greens dan FDP berjaya menewaskan gabungan parti konservatif.
Sebagai mantan Naib Chanselor dan Menteri Kewangan di bawah pimpinan Angela Merkel, Olaf Scholz menyinar dan dianggap sebagai hero. Sewaktu pandemik melanda, beliau berjaya melaksanakan pakej ransangan ekonomi yang bernilai 130 bilion euro, antara yang terbesar di dunia. Pakej ransangan tersebut terbukti berjaya menyelamatkan pekerjaan dan syarikat daripada gulung tikar.
Beliau juga dianggap sebagai pemimpin politik paling popular dalam kalangan rakyat Jerman. Hanya beberapa bulan sahaja selepas menduduki kerusi panas tersebut, culaan menunjukkan 50 peratus rakyat Jerman bersetuju dengan pimpinan Olaf.
Ini impak yang dijangka melanda Jerman dan dunia eropah dengan pelantikan Olaf Scholz selaku Canselor Jerman.
Tangani masalah kesihatan pasca pandemik
Kabinet Angela Merkel sebelum ini dianggap terlalu berlembut dengan golongan antivaksin. Sehingga hari ini, masih terdapat 30 peratus daripada penduduk Jerman yang belum divaksin. Sebagai perbandingan, kadar vaksinasi Jerman adalah pada 69 peratus, berbanding Malaysia pada kadar 78.6 peratus.
Kadar vaksinasi yang perlahan ini menyebabkan jangkitan Covid-19 masih lagi menular di Jerman. Setakat 7 Disember, sebanyak 93,087 kes dicatatkan dengan purata tujuh hari sebanyak 55,540 kes.
Maka, Olaf Scholz mengambil langkah drastik dengan memilih seorang pakar epidemiologi, Karl Lauterbach sebagai Menteri Kesihatan. Beliau sebelum ini lantang mengkritik kabinet parti konservatif yang dilihat berlembut dengan 18 juta rakyat Jerman yang menolak vaksin.
Lantikan ini merupakan simbol ketegasan Olaf sebagai pemimpin. Mana tidaknya, Karl Lauterbach juga pernah mencadangkan pengambilan vaksin ini dianggap sebagai mandatori kepada rakyat Jerman.
Menghentikan kesan perubahan iklim
Jerman merupakan negara pengeluar automotif terbesar di dunia. Sebut sahaja jenama-jenama seperti Audi, BMW, Mercedes-Benz, Porsche dan Volkswagen, kesemuanya dikeluarkan di Jerman. Maka, negara yang bertunjangkan kepada industri berat agak sukar untuk berbicara tentang perubahan iklim.
Namun, ia bukan perbincangan yang sukar untuk Olaf Scholz. Gabungan tiga parti yang mengisi kabinetnya turut menempatkan parti Greens.
Di dalam satu rali kempennya, Olaf pernah melontarkan halangan terbesar Jerman sebagai negara pengeluar kereta. Apa yang penting, selepas ini kereta yang dikeluarkan adalah kereta elektrik yang tidak mencemarkan alam sekitar.
Tidak menunggu lama, kabinet Olaf menambah satu kerusi menteri baharu iaitu Menteri Ekonomi dan Perubahan Iklim. Pemimpin parti Greens Robert Habeck dipilih sebagai menteri. Lantikan ini dijangka akan memacu industri Jerman untuk lebih mesra alam sekitar dan lebih peka terhadap perubahan iklim.
Cadangan awal kabinet Olaf
Pembangunan pasca pandemik memerlukan perbelanjaan yang besar. Pemimpin Parti Free Democrat, Christian Lindner dipilih menduduki kerusi panas tersebut.
Pemilihan beliau memperlihatkan keterbukaan Olaf dan politik Jerman itu sendiri. Ini bermaksud, Jerman perlu akur kepada cadangan perbelanjaan dari parti yang hanya memiliki 92 kerusi parlimen sahaja. Apa yang penting, kenaikan cukai bukanlah agenda bagi Christian Lindner.
Selain itu juga, perjanjian antara SPD bersama-sama Parti Greens dan FDP akan memperlihatkan kenaikan gaji minima kepada 12 euros/sejam ($13.50). Kabinet ini juga bakal memulakan langkah ke arah menghapuskan loji tenaga yang dijana oleh arang batu seawal 2030. Jerman juga bakal menjadi negara tanpa perlepasan karbon pada tahun 2045.
Apa yang pasti, seluruh dunia sedang memerhatikan Jerman dan Olaf Scholz.