Kajian oleh jurnal Lancet mendedahkan bagaimana pencemaran udara menyumbang kepada kes kematian di India. Menurut kajian tersebut, kira-kira 1.67 juta kematian pramatang di India berlaku sepanjang tahun 2019.

Di seluruh dunia, sebanyak 4.2 juta manusia kehilangan nyawa mereka akibat pencemaran. Udara yang tercemar dengan pelbagai gas dan sisa toksik menyumbang kepada masalah ini.

Selain itu juga, pencemaran di India menyebabkan berlakunya peningkatan pelbagai penyakit seperti barah paru-paru, penyakit jantung dan strok. Pencemaran juga dikaitkan dengan penyakit seperti diabetes, gangguan neonatal dan penyakit pernafasan yang mengakibatkan jutaan kes kematian.

Jumlah kematian akibat pencemaran merangkumi 18 peratus daripada keseluruhan kes kematian di India. Lebih membimbangkan apabila jumlah kematian ini meningkat secara mendadak. Pada tahun 2017, sejumlah 1.24 juta ataupun 12.5 peratus kematian berpunca daripada kes-kes pencemaran yang berlaku.

Pencemaran juga sudah menjadi salah satu pemisah terbesar antara golongan kaya dan miskin di India. Ini kerana, penduduk kaya dapat mengimbangi pencemaran dengan menggunakan pembersih udara di dalam kereta dan kediaman mereka. Golongan miskin pula tidak berkemampuan sehingga terpaksa menanggung kesan kesihatan jangka panjang.

Data dan angka yang dikeluarkan oleh IQAir menunjukkan New Delhi sebagai ibu negara paling tercemar di dunia. Pencemaran udara ini turut merekodkan impak ekonomi tertinggi per kapita kepada India.

Punca pencemaran di New Delhi

Kredit gambar: BBC Future

Pencemaran udara dan benua Asia bukanlah masalah yang baru dikenalpasti. Mana tidaknya, data pada tahun 2018 menunjukkan 4.2 bilion penduduk Asia menghirup udara yang tercemar pada tahun 2018. Malangnya, trend yang bermula di China ini semakin membarah di India.

Membaca data World Air Quality Report 2021 memberikan kita maklumat yang lebih jelas. 21 daripada 30 bandar dengan kualiti udara terburuk adalah di India. Untuk sepuluh bandar dengan pencemaran udara tertiggi pula, enam daripadanya adalah bandar-bandar di India.

New Delhi mempunyai kualiti udara terburuk dan memudahkan penduduknya terdedah kepada bahan toksik. Pencemaran dikatakan berpunca daripada perlepasan asap oleh industri, selain daripada kenderaan. 

Kerajaan Delhi turut menyalahkan pembakaran tunggul jerami di negeri jiran sehingga menyebabkan pencemaran udara di ibu kota. Kerajaan persekutuan bagaimanapun tidak bersetuju dengan tuduhan tersebut. Ini kerana, pembakaran tunggul jerami hanya menyumbang empat peratus kepada pencemaran udara.

Kepadatan penduduk di New Delhi juga menyukarkan sebarang mitigasi terhadap kebersihan udara. Seramai 31,181,000 tinggal di ibu negara India ini pada tahun 2021. Ia merupakan peningkatan daripada 31,181,000 penduduk pada tahun 2020 dan 30,291,000 pada tahun 2019.

Penyelesaian jangka pendek 

Kredit gambar: BBC

Antara penyelesaian jangka pendek yang acapkali diambil ialah mengurangkan pergerakan, sama seperti pengawalan Covid-19. Agensi kerajaan dan penutupan sekolah acap kali diadakan bagi mengurangkan pergerakan manusia dan kenderaan.

Selain itu juga, kerajaan negeri kerap menggesa orang ramai untuk bekerja dari rumah dan melarang trak tidak penting daripada memasuki ibu kota. Bagi industri pembinaan pula, arahan kerja empat hari dan cuti tiga hari seminggu pernah dilaksanakan.

Mahkamah Agung India pernah mencadangkan supaya perintah berkurung pencemaran diisytiharkan. Namun, cadangan tersebut ditolak oleh kerajaan negeri.

Arahan juga dikeluarkan oleh kerajaan Dehli supaya senapang anti-asap dan kabus serta pemancut air beroperasi di kawasan titik panas. Operasi ini berjalan sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

Namun begitu, nampaknya ia masih tidak memadai. Dan penduduk di New Delhi terus menderita akibat pencemaran udara yang sangat serius dan tidak terkawal.