Sesusah-susah kita, adakah kita dah sampai tahap kena masak batu untuk bagi anak kita yang lapar tertidur?

Inilah realiti yang dihadapi oleh seorang ibu anak lapan di Kenya. Peninah Bahati Kitsao sebelum ini mengambil upah membasuh baju orang untuk menyara keluarganya berseorangan selepas suaminya terbunuh dalam pergaduhan geng.

Bagaimanapun sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Kenya susulan penularan wabak pandemik COVID-19 membuatkan beliau sukar untuk mendapatkan pelanggan.

Bercakap kepada media Kenya, Peninah berkata kehidupan keluarganya sepanjang April 2020 lepas menjadi sangat kritikal sehinggakan beliau terpaksa masak batu untuk menidurkan anak-anaknya yang kelaparan.

“Saya terpaksa sebab saya tak ada apa-apa. Tapi lama-lama, anak-anak saya tahu saya tipu mereka.”

Selain ketiadaan makanan, rumah Peninah juga tiada bekalan air dan elektrik.

Melihat keadaan hidup Peninah itu, jirannya Prisca Momanyi – yang juga miskin dan kehilangan kerja – mengambil inisiatif menghubungi media untuk membantunya.

Hasil usaha media, sebuah tabung kebajikan dan akaun bank dibuka untuk keluarga Peninah. Media turut membelikannya telefon bimbit untuk memudahkan orang ramai menghubungi beliau.

Peninah yang tak tahu membaca dan menulis kini telah menerima banyak sumbangan dari warga Kenya seluruh negara.

“Saya tak percaya ramai orang Kenya bersikap penyayang. Saya banyak terima panggilan telefon dari seluruh negara yang tanya macam mana mereka boleh bantu.”

Sejak krisis wabak COVID-19 melanda, kerajaan Kenya telah melancarkan program tabung makanan untuk membantu rakyatnya yang terkesan dengan kemelsetan ekonomi akibat wabak COVID-19. Bagaimanapun bantuan tersebut masih belum dicapai oleh Peninah dan keluarganya.

Hampir sama dengan kisah Saidina Umar Al -Khattab

Berita ini mempunyai persamaan dengan kisah Saidina Umar Al-Khattab RA ketika beliau bergelar Khalifah seperti yang terkandung dalam buku Ar-Rauzat-uz-Zakiah.

Ketika bergelar khalifah, beliau mempunyai kecenderungan menyamar sebagai rakyat pada waktu malam untuk melihat sendiri kehidupan rakyat jelatanya.

Dalam kisah terkenal ini, Saidina Umar terjumpa seorang ibu yang memasak terlalu lama untuk anak-anaknya yang lapar. Suami wanita tersebut baru sahaja meninggal dunia.

Sambil memasak, wanita tersebut menyatakan rasa tak puas hatinya kepada kepimpinan Khalifah yang disifatkannya gagal melihat kebajikan rakyat.

Terkejut mendengar keluhan wanita tersebut, Saidina Umar masuk ke dalam rumah keluarga miskin tersebut untuk menyiasat.

Hasil siasatannya Saidina Umar terkejut bahawa wanita tersebut sebenarnya sedang masak batu supaya anak-anaknya yang kelaparan tertidur.

Selesai mendengar cerita wanita tersebut, beliau terus bingkas bangun keluar daripada rumah wanita miskin tersebut, berlari ke Baitul Mal dan memasukkan tepung, daging dan gula ke dalam sebuah karung.

Ketika Saidina Umar baru sahaja mahu membawa karung tersebut balik ke rumah wanita tersebut, beliau terserempak dengan orang suruhannya yang menawarkan dirinya untuk mengangkut karung tersebut.

Ketika itulah Saidina Umar berkata:

“Adakah engkau sanggup memikul dosa-dosaku di akhirat kelak?”

“Di hari pengadilan nanti, engkau tidak akan dapat memikul bebanan-bebanan aku, jadi tidak ada sebab kenapa engkau mesti membawanya hari ini.”

Saidina Umar memikul karung yang sarat berisi makanan itu ke rumah wanita tersebut. Sebaik sampai, beliau sendiri yang memasakkan makanan untuk anak-anak itu dan malah beliaulah yang memberi mereka makan. Wanita tersebut menyatakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Saidina Umar r.a.

Sebaik sahaja beliau hendak meninggalkan rumah itu, wanita itu berkata kepadanya,

“Engkaulah yang sepatutnya menjadi khalifah, bukannya Umar RA. Engkau baik, murah hati dan faham perasaan orang. Itulah sepatutnya yang ada pada seorang khalifah.”

Dia tidak tahu bahawa yang menolongnya itu adalah Khalifah Umar.

Keesokannya Saidina Umar telah memanggil wanita itu untuk datang menghadapnya. Alangkah terkejutnya wanita itu apabila melihat khalifah zalim yang disangkakannya itu sebenarnya adalah lelaki yang datang membantunya pada malam tadi.

“Puan”, kata khalifah. “Akulah Umar.

“Adalah kesalahan aku kerana tidak mengetahui kesusahan engkau. Tetapi sekarang anak-anakmu telahpun makan dan dapat tidur dengan sukacita.

“Aku juga telah mengatur mulai hari ini, Baitul Mal akan memberi sumbangan kepada engkau supaya engkau dapat menyara mereka secara sempurna sehinggalah mereka dewasa.”

Khalifah Umar telah menghadiahkannya wang serta segala keperluan hidup. Beliau juga merayu kepada wanita tersebut supaya berjanji untuk tidak mendakwanya di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Sumber: