India akan mula memberikan kebenaran kepada beberapa syarikat teknologi seperti Ericsson, Nokia dan Samsung untuk menguji teknologi 5G di negara tersebut. Antara syarikat yang turut diberikan kebenaran termasuklah Reliance Industries’ Jio Infocomm, Bharti Airtel, Vodafone Idea dan syarikat berkaitan kerajaan MNTL. Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi India, ujian percubaan ini akan tertumpu di tiga peringkat kawasan iaitu bandar, separuh bandar dan kawasan luar bandar.

Namun begitu, nampaknya Huawei dikesampingkan daripada senarai syarikat ini. Sebuah lagi syarikat yang turut tidak tersenarai adalah ZTE, juga dari China. Walaupun begitu, tiada sebarang penerangan yang diberikan tentang sebab dua buah syarikat ini diketepikan daripada ujian teknologi ini. Huawei dan ZTE juga tidak memberikan sebarang maklumbalas tentang persoalan ini.

Sebelum ini, Huawei dan ZTE masih lagi membekalkan peralatan teknologi berkaitan 5G ke India. Terdapat juga laporan berita pada bulan Disember tahun lalu yang menyatakan Huawei tersenarai sebagai antara pembekal teknologi 5G. Namun begitu, terdapat ura-ura yang dilaporkan kepada Reuters yang memberitahu terdapat kemungkinan sekatan kepada peralatan telekomunikasi yang dibuat oleh Huawei dan ZTE atas risiko keselamatan dan pengintipan.

Dengan peningkatan sebanyak 12 peratus pada tahun 2020 dan jangkaan 15 peratus bagi 2021, India merupakan negara kedua terbesar yang menggunakan telefon pintar, dengan 760 juta pengguna pada tahun ini.

Sumber: