Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak mengkompaun sebuah hospital swasta sebanyak RM200,000 atas kesalahan menjual 18 keping topeng muka 3 lapisan (3-ply face mask) sebanyak RM201.60 kepada seorang pelanggannya.
Menurut KPDNHEP, face mask tersebut digunakan oleh jururawat hospital tersebut ketika merawat anak pelanggan tersebut.
KPDNHEP bertindak susulan aduan yang dibuat oleh pelanggan pada 13 Mei 2020. Pemeriksaan ke atas hospital, soal siasat pengurusan hospital dan rampasan sejumlah dokumen beserta dengan topeng muka 3 lapisan sama jenis dilakukan bagi tujuan siasatan.
Menurut mereka tindakan hospital swasta tersebut yang menjual topeng muka 3 lapisan melebihi harga maksimum RM1.50 seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan, menyalahi undang-undang.
Kesalahan tersebut dilakukan di bawah Sekseyn 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. Tawaran kompaun sebanyak RM200,000 dikeluarkan sebagai hukuman pada 22 Mei 2020.
Kegagalan membayar kompaun tersebut dalam masa yang ditetapkan boleh menyebabkan hospital swasta tersebut dituduh di mahkamah. Sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda tak melebihi RM500,000. Jika kesalahan sama diulang, penalti naik tak melebihi RM1 juta.
Sebelum ini seorang lelaki, Hilman Ruhaifi mendedahkan di Facebook tentang insiden Hospital Prince Court Kuala Lumpur yang mengecas 18 keping topeng muka 3 lapisan sebanyak RM201.60.
Difahamkan Hilman membawa anak perempuan empat tahunnya ke hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan jangkitan pernafasan akut.
“Mula-mula sekali, anda cas saya RM1,500 untuk memasukkan anak saya kerana tak semua insurans syarikat melindungi COVID-19. Anak saya telah disaring dan dia sah negative COVID-19.
“Prince Court, biar saya kirakan untuk anda. Harga siling sekeping topeng muka adalah RM1.50. Jumlah topeng muka yang digunakan untuk merawat anak saya adalah 18 keping. Jadi jumlah keseluruhan yang sepatutnya adalah RM27.
“Tapi sekarang anda cas saya RM201.60 untuk 18 keping topeng muka. Maknanya anda cas saya RM11.20 sekeping? Di mana etika dan profesionalisme anda semasa menjalankan tugas?”