Buat kali pertamanya dalam sejarah, harga minyak mentah Amerika Syarikat (US) jadi negatif. Ini bermakna pengeluar minyak terpaksa membayar kepada pembeli supaya pembeli mengambil tong minyak mentah tersebut daripada simpanan mereka yang dijangka akan penuh menjelang Mei 2020 nanti.

Permintaan minyak sedunia jatuh mendadak susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan oleh majoriti negara akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Ini menyebabkan syarikat minyak terpaksa menyewa tangki tambahan untuk menyimpan lebihan minyak, sekaligus membuatkan harga minyak jatuh ke paras negatif.

Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) untuk kontrak bulan Mei jatuh ke paras negatif USD37.63 (negatif RM165.10) setong pada pukul 3.48 pagi waktu Malaysia tadi.

WTI adalah penanda aras harga minyak mentah yang digunakan oleh Amerika Syarikat. Negara-negara di luar Amerika Syarikat, termasuk Malaysia, menggunakan penanda aras Brent.

Ketika ini harga setong minyak mentah Brent adalah USD26.37 (RM115.70). Kali terakhir harga minyak mentah Brent jatuh serendah ini adalah pada tahun 2003.

Untuk dapat untung, sesebuah syarikat minyak di Amerika Syarikat perlu menjual setong minyak mentah atas USD40 (RM175).

Apa itu WTI dan Brent?

Harga minyak mentah didagangkan mengikut harga kontrak masa depan. Harga kontrak masa depan bermaksud harga yang dipersetujui oleh pengeluar minyak dengan pembeli pada masa akan datang seperti beberapa bulan akan datang.

Sebagai contoh harga minyak mentah WTI ketika ini didagangkan untuk kontrak bulan Mei 2020. Sementara itu harga minyak mentah Brent ketika ini pula didagangkan untuk kontrak bulan Jun 2020.

Ketika ini pengeluar minyak mentah mempunyai berjuta-juta gelen minyak yang perlu diedarkan. Tetapi ketika ini, tiada siapa mahu membeli stok minyak mentah baru kerana simpanan mereka masih penuh lagi.

Jadi apabila harga minyak mentah jadi negatif USD37.63, ia bermakna pengeluar minyak mentah terpaksa membayar USD37.63 kepada pembeli untuk mengambil setong minyak mentah daripada mereka.

Harga minyak negatif bukannya bermaksud stesen minyak kena bagi kita duit bila isi minyak kenderaan kita.

Kejatuhan harga dah dijangka

Penganalisis ekonomi sebenarnya sudah menjangka harga minyak mentah akan jadi negatif sejak jatuh pada awal Mac lepas.

Bagaimanapun mereka tak menyangka penanda aras WTI yang jatuh ke paras negatif dahulu.

Kejatuhan harga minyak ini merupakan peringatan mengenai kemelesetan ekonomi yang bakal dihadapi oleh pasaran minyak dunia. Malah jika perintah kawalan pergerakan berlanjutan lebih lama lagi di Amerika Syarikat, harga minyak mentah WTI untuk kontrak Jun juga dijangka akan turun lagi.

Dalam usaha untuk menstabilkan semula harga minyak mentah dunia, negara-negara pengeluar minyak telah bersetuju untuk mengurangkan 15% skala pengeluaran mereka bermula Mei, atau kira-kira 10-15 juta tong sehari.

Bagaimanapun persetujuan tersebut tetap gagal mengelak harga minyak mentah dunia jatuh.

Setakat ini harga minyak mentah WTI untuk kontrak Jun dan Julai masih lagi kekal dalam paras prositif, walaupun telah jatuh dengan signifikan.

Bagaimana harga minyak boleh jadi negatif

Apabila minyak mentah disedut keluar dari tanah, ia perlu disimpan dan diangkut. Semua kerja ini ada kosnya.

Apabila harga minyak mentah dunia jatuh, pengeluar minyak berpotensi untuk rugi kerana harga jual lagi rendah daripada kos mengeluar, menyimpan dan mengakut minyak. Bagi US, kos mereka lagi tinggi kerana jarak mereka yang jauh dari pasaran dunia.

Dalam kes ekstrim seperti yang berlaku hari ini, minyak jadi susah untuk dijual. Ini menyebabkan ruang simpanan tong minyak mentah mereka semakin penuh, terutamanya di Oklahoma – tempat minyak mentah WTI disimpan.

Apabila minyak WTI tak ada ruang untuk disimpan dan tak ada orang nak beli, harga minyak WTI jadi negatif kerana kontrak Mei akan luput pada hari ini (Selasa 21 April). Jadi pengeluar minyak semakin terdesak untuk mengosongkan simpanan tong minyak mereka sebanyak mungkin.

Keterdesakan pengeluar minyak inilah yang membuatkan harga minyak jadi negatif. Ini bermakna mereka terpaksa menghalalkan kos pengeluaran mereka dan memberi tong minyak secara percuma.

Situasi menjadi bertambah buruk apabila syarikat pengeluar minyak tidak boleh sewenang-wenangnya menghentikan operasi pelantar minyak mereka. Ini kerana tindakan tersebut boleh ‘merosakkan’ minyak.

Jika keadaan ini berterusan, lebih banyak syarikat pengeluar minyak akan terpaksa bungkus dan mengisytiharkan kebankrapan – sekaligus menyebabkan jutaan orang kehilangan punca pendapatan.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda: