Netflix Menambah 3.98 Juta Pelanggan Bagi Suku Tahun Pertama 2021

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan kepada pelabur, Netfix mengumumkan bahawa syarikat penstriman video tersebut kini mempunyai 208 juta orang pelanggan berbayar setakat suku pertama tahun 2021. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 3.98 juta orang pelanggan berbanding suku keempat tahun 2020. Namun begitu, jumlah tersebut adalah kurang 2.18 juta pelanggan daripada sasaran asal untuk mencecah 210 juta.

Sekiranya dibandingkan dengan pencapaian tahun lalu, bagi jangka masa suku pertama 2020, Netflix berjaya menarik minat hampir 15.8 juta pelanggan sewaktu pandemik mula-mula melanda. Menurut laporan, Netflix kini menghadapi persaingan hebat dengan Amazon Prime, HBO Max dan juga Disney+ yang berlumba-lumba menghasilkan dan membeli kandungan yang bermutu tinggi. Berdasarkan laporan Bloomberg, keuntungan Netflix masih melebihi sasaran iaitu RM29.5 bilion berbanding jangkaan RM29.423 bilion.

Menurut Netflix lagi, kadar peningkatan pelanggan yang perlahan disebabkan oleh pengeluaran kandungan baharu bagi suku pertama tahun 2021 tertangguh dek pandemik. Banyak penggambaran siri televisyen popular, dokumentari dan filem yang masih tertangguh lantas menyebabkan kurangnya penambahan kandungan baharu dan segar di Netflix.

Bacaan Seterusnya