Sepanjang tahun lalu, Facebook dilaporkan membelanjakan sekitar RM95,180,900 (USD23,000,000) untuk meningkatkan kawalan keselamatan terhadap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marc Zuckerberg. Menurut laporan yang difailkan oleh syarikat tersebut kepada U.S. Securities and Exchange Commission (SEC), terdapat ancaman keselamatan yang serius terhadap Zuckerberg dan keluarganya sepanjang tahun lalu akibat daripada beberapa faktor besar.
Antaranya ancaman keselamatan yang dilaporkan adalah Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2020, pandemik Covid-19 serta kos penggajian kakitangan keselamatan yang meningkat. Sebagai pengasas Facebook, Zuckerberg sering kali terdedah kepada risiko ancaman keselamatan apabila berlakunya sebarang perubahan yang dianggap negatif oleh pengguna media sosial tersebut.
Harga mahal yang dibayar oleh Facebook ini meliputi perlindungan selama 24 jam oleh pegawai keselamatan yang lengkap bersenjata. Di samping itu juga, rumah beliau di Bay Area dilaporkan mempunyai bilik kebal yang tersendiri sebagai langkah keselamatan.
Sebagai perbandingan, Apple hanya membayar RM1.8 juta setahun untuk kawalan keselamatan peribadi Tim Cook. Amazon pula dilaporkan membayar sebanyak RM6.6 juta bagi keselamatan Jeff Bezos.