Sebelum bekerja di pasar angkara wabak COVID-19 melanda, Chin Xie Jun bekerja di gim sebagai jurulatih kecergasan dan jurulatih kickboxing. Lelaki berusia 34 tahun ini turut membantu keluarganya mengurus taska.
Tetapi selepas wabak COVID-19 melanda, Chin hilang semua punca pendapatannya kerana gim serta taska ditutup disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun situasinya berubah selepas dia mengambil keputusan untuk membantu rakan perniagaan gimnya untuk bekerja di pasar basah.
“Saya dah bekerja di pasar sejak sebulan lepas. Kena kerja sebab duit dah makin kurang,” katanya ketika ditemu ramah oleh The Star.
Kerja mengangkat bakul-bakul sayur seberat 30-50kg selama 6 jam sehari di pasar masih diakui berat dan memenatkan, walaupun oleh Chin yang kerap mengangkat besi di gim.
“Kerja memang memenatkan. Tapi sekurang-kurangnya saya dapat latihan angkat berat percuma dan upah RM80-100 selepas 6 jam bekerja.”
Chin menyeru lebih ramai warga tempatan lain untuk menyahut seruan memenuhi permintaan tenaga kerja di pasar-pasar basah.
“Kalau ada kerja, ambil sahaja. Jangan malu. Kerja di pasar lagi baik daripada duduk rumah tidur,” katanya lagi.
Datuk Redzuawan Ismail, atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, adalah antara netizen yang memuji sikap Chin yang tidak memilih kerja ketika waktu kemelesetan ekonomi ketika ini.
“Terima kasih The Star kerana mengeluarkan cerita berinspirasi tentang jurulatih kecergasan yang kerja pasar basah bila pendapatannya terjejas ketika PKP.
“Orang yang nak berjaya kena ubah sikap dulu. Jangan malas dan kena sedar mereka kena berubah untuk ubah nasib hidup mereka.
“Saya tahu kerana saya sendiri pernah lalu semua pengalaman ini masa buat jualan langsung di ITM. Kemudian bila saya belajar di luar negara di Sydney, saya buat kerja sambilan jadi pelayan dan jual kebab di pasar borong Paddy.
Chef Wan turut berkongsi pengalamannya bekerja ketika masih belajar dan bagaimana pengalamannya itu mengajar banyak perkara tentang cara-cara untuk berjaya dan apa yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk mendapatkan ilmu dan skil baru.