Disebabkan sepucuk surat, seorang budak perempuan berusia sembilan tahun kini merupakan kawan kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham.
Untuk menunjukkan bukti persahabatan mereka, Dr Hisham kini mempunyai rantai tangan persahabatan buatan Lara sendiri. Sementara itu Lara pula mempunyai surat rasmi dari Dr Hisham sebagai bukti persahabatan mereka.
Lara Khadijah McAfee merupakan pelajar darjah tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu.
Menurutnya, beliau membuat rantai tangan persahabatan itu untuk mengucapkan terima kasih atas kerja keras yang dibuat oleh muka depan KKM dalam krisis wabak COVID-19 sekarang.
“Saya buat rantai tangan tenun untuk kawan-kawan saya pakai sebagai tanda persahabatan.
“Saya telah buat rantai tangan tenun berwarna biru ini untuk awak untuk berterima kasih atas kerja yang awak buat membantu rakyat Malaysia selamat dan sihat ketika wabak virus ini.”
Lara menyertakan sekali rantai tangan yang ditenunnya sendiri dalam surat tersebut.
Beberapa hari kemudian, Lara menerima balik surat balas daripada Dr Hisham bertarikh 16 April.
Dalam surat tersebut, Dr Hisham berterima kasih dengan rantai tangan tenunan Lara dan telah memberinya kepada cucu beliau.
“Terima kasih atas surat dan rantai tangan anda. Cucu perempuan saya sedang memakainya dan beliau sangat suka!
“Kata-kata awak sangat baik tapi sebenarnya saya tak lakukannya secara berseorangan. Saya bernasib baik kerana mempunyai rakan kerja yang bagus untuk membantu negara kita.
“Rakyat Malaysia seperti awaklah yang telah banyak membantu dengan duduk di rumah. Sila teruskan duduk di rumah dan bersama-sama kita memerangi virus tersebut.
Dr Hisham turut memberitahu Lara bahawa peperangan wabak ini akan berakhir tidak lama lagi.
“Inshaallah, semua ini akan berakhir tak lama lagi.”
Dr Hisham turut menasihatkan Lara supaya rajin-rajin belajar dan menjaga grednya.
“Satu hari nanti giliran awak pula untuk membantu Malaysia. Ikut impian awak dan kerjalah kuat-kuat untuk mencapainya!”
Surait itu diakhiri dengan ayat, “dari kawan baru awak, Dr Hisham.”
Menurut laporan The Star, ibu Lara, Mutiara Jusuf McAffee berkata anak perempunya ternyata sangat gembira selepas menerima surat balas dari Dr Hisham.
“Dia ingat dia dah terkenal,” kata ibu berusia 46 tahun itu.
Mutiara juga berkata Lara ada bertanya kepada beliau, mengapa Dr Hisham memberi rantai tangan tersebut kepada cucunya kerana rantai tangan tersebut dibuat oelh beliau untuk Dr Hisham.
“Dia tanya saya macam mana rantai tangan itu nak muat sebab Lara ikut saiz tangan bapanya sebelum membuatnya. Dia betul-betul nak Datuk (Dr Noor Hisham) pakai,” kata Mutiara.
Mutiara turut memberitahu beliau sentiasa menggalakkan semua anaknya untuk mengekspresikan diri mereka melalui penulisan.
Lara, anak bongsu daripada lima adik-beradik, sering membuat rantai tangan tenun di rumah dan memberinya kepada kawan-kawan dan saudaranya.
“Kami fikir, apa kata kita hantar kepada Dr Hisham sebagai tanda persahabatan. Kami periksa warna apa yang berkait dengan kesihatan. Itu sebabnya Lara buat dalam warna biru dan putih.”
Mutiara berkata surat itu dihantar oleh Lara pada 19 Mac, sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.
Menurutnya, surat tersebut pada mulanya tidak sampai ke pejabat Dr Hisham kerana PKP.
“Tapi akhirnya ia sampai juga. Kemudian pejabat Dr Hisham hubungi kami pada 16 April untuk bertanya alamat rumah kami.
“Sebagai ibu bapa, saya dan suami sangat gembira Datuk (Dr Noor Hisham) mengambil masa dalam jadual beliau yang sibuk untuk membalas surat Lara dan menjadikan Lara sebagai kawan barunya.”