Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan notis kepada empat pengendali telekomunikasi iaitu Celcom, Maxis, Tune Talk Dan Webe atas iklan yang mengelirukan pengguna. Iklan tersebut berbentuk promosi had internet tanpa had (unlimited).

SKMM telah mengeluarkan notis arahan tersebut mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ketidakpatuhan mereka kepada peruntukan berkaitan pengiklanan. Notis tersebut juga berpandukan Kod Amalan Am Pengguna bagi industri komunikasi dan multimedia. Pada masa yang sama, keempat-empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkenaan telah diarahkan untuk membuat tindakan pembetulan ke atas promosi yang mengelirukan, selain memberikan penjelasan yang tepat kepada pengguna.

Menurut SKMM lagi, masih ada sejumlah penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang membuat promosi mengelirukan dan tidak menyatakan secara jelas terma dan syarat bagi perkhidmatan yang ditawarkan.

Pelanggaran kepada notis ini boleh menyebabkan syarikat didenda di bawah Seksyen 242 AKM 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dua (2) tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

 

Sumber: