Apabila seseorang pekerja telah disahkan positif Covid-19 di tempat kerja, sebenarnya beliau layak membuat tuntutan di PERKESO. Tuntutan tersebut dibuat atas Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) di bawah Skim Bencana Kerja PERKESO dan dibuat melalui majikan.
Di bawah skim ini, pekerja tersebut perlu disahkan positif Covid-19 disebabkan kluster atau jangkitan semasa bekerja di tempat kerja. Pencarum PERKESO akan dibayar sebanyak 90 peratus daripada gaji mereka mengikut jumlah hari mereka dirawat di hospital sehingga mereka disahkan negatif virus berkenaan.
Berikut merupakan latar belakang dan syarat bagi membuat tuntutan tersebut.
Latar belakang Skim Bantuan Pekerjaan PERKESO
Skim Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya. Jangkitan Covid-19 di tempat kerja adalah salah satu daripada penyakit khidmat yang dilindungi di bawah skim ini.
Perlindungan di bawah skim ini adalah seperti:
- Kemalangan semasa menjalankan pekerjaan;
- Kemalangan semasa dalam perjalanan;
- Kemalangan semasa kecemasan dan
- Penyakit khidmat.
Penyakit khidmat adalah penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan sebagaimana yang disenaraikan di Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Contohnya hilang pendengaran disebabkan oleh paras tekanan bunyi tinggi yang berterusan.
Syarat memohon Skim Bencana Pekerjaan akibat Covid-19
Berikut merupakan syarat bagi memohon tuntutan ini:
- Masih bekerja;
- Aktif sebagai pencarum PERKESO dan
- Dijangkiti Covid-19 di tempat kerja.
Pemohon yang dijangkiti Covid-19 tetapi dijangkiti daripada keluarga dan kluster lain tidak layak untuk memohon. Pencarum yang disahkan sebagai kontak rapat dan tidak positif Covid-19 juga tidak layak untuk memohon.
Cara membuat tuntutan Skim Bencana Pekerjaan akibat Covid-19
Tuntutan ini adalah di bawah tanggungjawab majikan untuk melaporkannya kepada PERKESO. Majikan perlu memohon melalui Borang 34 dan dihantar ke Pejabat PERKESO yang berhampiran untuk siasatan lanjut.
Berikut merupakan cara bagi membuat tuntutan ini:
- Mengisi Borang 34 dengan lengkap;
- Salinan kad pengenalan pekerja;
- Sijil asal cuti sakit pekerja;
- Rekod kehadiran pekerja (kad perakam waktu, buku kehadiran, salinan sistem);
- Laporan pengesahan positif Covid-19;
- Salinan slip gaji selama enam bulan sebelum;
- Salinan muka depan buku akaun pekerja;
- Sijil cuti sakit pekerja (atau surat perintah kuarantin KKM) dan
- Isikan ruang penyakit khidmat.
Permohonan akan diproses dalam tempoh maksima 45 hari sebelum pembayaran dibuat.