Mengikut jenis kopi iaitu Arabica, Robusta dan Liberica, ketiga-tiganya mempunyai nota rasa yang berbeza. Arabica berasal dari Brazil dan Ethiopia, menguasai lebih 60 peratus keluaran kopi dunia. Biji kopi Arabica ini juga adalah paling berasidik jika dibandingkan dengan jenis yang lain.
Robusta pula mempunyai kadar kafein yang lebih tinggi dan aromanya tak seharum kopi Arabica. Rupa bentuk biji kopi Robusta ini juga lebih membulat. Kadar kafein yang tinggi akan buat rasa kopi jenis ini rasa dia lebih kuat dan pahit.
Kopi Liberica pula yang paling sedikit pengeluarannya di dunia, hanya sekitar 2 peratus. Berbeza dengan Arabica dan Robusta, Liberica mempunyai rasa buah-buahan, bunga dan aroma salai.
Namun begitu, peminat kopi tidak mampu merasakan nikmat pahit kopi apabila menyeduh kopi bersama-sama gula dan susu pekat manis. Ini langkah yang dicadangkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pemanis di dalam kopi.
1. Gantikan susu pekat manis dengan susu segarĀ
Kopi kampung yang dihidangkan bersama susu pekat manis memang berlemak rasanya. Namun begitu, sekiranya anda mahu mula mengurangkan rasa manis di dalam kopi, boleh gantikan susu pekat ini dengan susu segar.
Selain kandungan yang lebih berkhasiat, susu segar juga mampu menyebabkan anda merasai gula yang sedia ada di dalam kopi kampung. Ini kerana, sewaktu penyediannya kopi kampung dibakar bersama-sama majerin dan gula.
2. Elakkan meminum kopi 3 dalam 1
Secara purata, minuman 3 dalam 1 mengandungi lebih tiga sudu gula dalam setiap pek. Gula yang berlebihan tersebut adalah bertujuan mengurangkan rasa pahit dalam minuman itu. Selain kandungan gula yang tinggi, ia juga mengandungi krimer dengan kandungan lemak tepu.
Minuman 3 dalam 1 sering menjadi pilihan kerana harganya yang lebih rendah, serta lebih mudah untuk didapati. Cuba bertukar kepada kopi jenis instant ataupun kopi mudah larut.
Ia merupakan pilihan yang lebih baik kerana disediakan tanpa gula ataupun apa-apa pemanis tambahan.
3. Mencuba biji kopi yang berbeza
Adakalanya, mungkin percubaan kopi pahit pertama anda tidak sesuai dengan lidah. Namun begitu, perhatian jenis kopi tersebut. Sekiranya anda masih memerlukan rasa manis disebalik pahit, mungkin kopi Liberica boleh menjadi pilihan utama.
Terdapat juga perbezaan antara campuran biji kopi yang memberikan rasa berbeza-beza. Apa yang pasti, perbezaan antara kopi single origin dan house blend juga boleh menjadi penyebab kepada minat anda bertukar.
Ingat, kopi tanpa gula dan pemanis tambahan adalah pilihan yang lebih sihat.