Dua ulat tiket konsert di United Kingdom yang meraih RM51 juta dalam masa 5 tahun hasil kerja jual pelbagai tiket Ed Sheeran dan Adele dihukum penjara oleh mahkamah di Leeds, England.
Mahkamah menjatuh hukuman penjara 4 tahun kepada Peter Hunter dan 2 tahun setengah kepada David Smith yang menjual tiket atas nama Ticket Wiz dan BZZ di atas talian. BZZ dilaporkan meraih jualan tiket sebanyak £9.3 juta (RM51 juta) dalam masa 5 tahun menjadi ulat tiket.
Pengurus artis Ed Sheeran, Stuart Camp memberi testimoni kepada mahkamah bagaimana kedua-dua ulat tiket tersebut menjual semula tiket konsert amal berharga £75 (RM408) di atas talian pada harga £7,000 (RM38,078).
Ini adalah kali pertama ulat tiket dihukum dalam kes berprofil besar sebegini.
Dalam bacaan hukumannya, hakim Mushtaq Khokhar memberitahu kes ini adalah bukti penipuan yang dijalankan bertahun-tahun. “Banyak mangsa telah membayar lebih daripada apa yang sepatutunya,” kata beliau.
Dalam masa setahun, kedua-dua ulat tiket ini membeli lebih daripada 750 tiket hanya untuk konsert Ed Sheeran.
Mereka menggunakan pelbagai identiti dan bots untuk membeli tiket sebelum menjualnya pada harga mahal di pelbagai platform menjual tiket seperti Viagogo, GetMeIn, StubHub dan Seatwave.
Salah seorang ulat tiket tersebut, Hunter memberitahu juri bagaimana beliau memulakan perniagaan ulat tiketnya apabila seorang rakannya yang tidak mempunyai kad kredit memintanya membeli tiket konsert Madonna. Ketika inilah beliau menyedari peluang untuk menjual semula tiket tersebut pada keuntungan berlipat ganda.
Apabila rumah kedua-dua ulat tiket ini digeledah, pihak berkuasa menjumpai 112 kad kredit dalam 37 nama.
Kedua-dua mereka menggunakan sekurang-kurangnya 97 nama, 88 alamat dan lebih 290 alamat emel berlainan untuk mengelakkan kegiatan mereka dihidu oleh pihak berkuasa.
Bagaimana Ed Sheeran membanteras ulat tiket
Menyedari ulat tiket sering membeli tiket konsertnya sebelum menjual pada keuntungan berlipat ganda kepada peminatnya, Ed Sheeran aktif membanteras kegiatan mereka.
Penyanyi popular itu pernah membatalkan 10,000 tiket jelajah stadiumnya selepas mengenal pasti hampir semuanya dibeli oleh ulat tiket.
Semua tiket yang dijual semula di platform seperti Viagogo juga dibatalkan.
Peminat Sheeran yang sudah membeli tiket daripada ulat tiket tuurt diberikan bantuan untuk mendapatkan pulangan wang dan tiket pada harga sebenar. Dianggarkan Sheeran telah memulangkan lebih £240,000 (RM1.3 juta) duit peminat beliau yang telah digunakan untuk membeli tiket daripada ulat yang tak bertanggungjawab.
Selain itu Sheeran juga mengenakan beberapa syarat ketat berikut dalam prosedur pembelian tiket konsertnya:
- Nama mesti dicetak di tiket. Dokumen pengenalan diri wajib ditunjuk di pintu masuk
- Maksimum 4 tiket sahaja untuk seorang pembeli
- Tiket yang dijual semula akan dibatalkan
- Sebarang tiket yang dibeli oleh ‘syarikat’ akan dibatalkan
- Jualan tiket dibuka pada hari Sabtu, bukannya Jumaat seperti biasa, supaya peminat sebenar ada peluang besar untuk membeli tiket atas talian.
Sumber: BBC News