Kismis bukanlah makanan yang asing dengan kita. Ia merupakan makanan penambah tenaga segera yang mudah didapati di mana-mana. Makanan ini juga terkenal dengan istilah gula-gula semulajadi dek kerana kandungan gula yang tinggi secara semulajadi.

Ketiga-tiga jenis kismis seperti raisin, sultana dan currant ini mempunyai perbezaannya yang tersendiri. Perbezaan istilah ini juga bergantung kepada lokaliti asal buah anggur tersebut.

Penduduk di Amerika Syarikat menggunakan terma raisin kepada kedua-dua jenis kismis raisin dan sultana. Bagi membezakannya, sultana selalu dirujuk sebagai golden raisin. Manakala di negara-negara lain, kedua-dua raisin dan sultana dibezakan mengikut jenis anggur dan cara pengeringannya.

Selain itu juga, ketiga-tiga jenis kismis ini datang daripada buah anggur yang berbeza. Bagaimanapun, ketiga-tiganya kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan. Bagi penggunaan di dalam masakan dan pembuatan kek pula, ia dibezakan kerana rasanya yang agak signifikan antara satu dengan yang lain.

Biarpun agak popular kebelakangan ini, raisin, sultana dan currant juga kerap kali dicampur aduk sebagai kismis. Ini mudah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna yang tidak memahami istilah sebenar dan perbezaannya.

Artikel ini cuba menerangkan dengan ringkas tentang perbezaan ketiga-tiga kismis ini.

Raisin

Kredit gambar: World Atlas

Secara mudahnya, raisin merupakan buah anggur besar yang telah dikeringkan. Ia banyak dihasilkan di seluruh dunia dan boleh dimakan begitu sahaja, selain digunakan di dalam masakan.

Terminologi raisin datang daripada kata pinjaman Perancis lama yang bermaksud anggur kering. Beberapa negara seperti UK, Ireland, New Zealand dan Australia mentakrifkan raisin sebagai anggur gelap yang kering dan besar.

Bagi setiap 100g raisin, ia mampu memberikan 299 kcal tenaga. Kandungan tertinggi di dalamnya ialah gula iaitu 65.2g.

Raisin dihasilkan dengan mengeluarkan air di dalam buah anggur secara proses evaporasi. Biarpun dikenali sebagai anggur yang telah dikeringkan, raisin masih lagi mengandungi 15 peratus kandungan air.

Proses pengeringan ini selalunya mengambil masa selama tiga minggu. Anggur yang kering berubah warna menjadi lebih gelap, lantas memberikan warna kepada raisin.

Perbezaan paling ketara antara raisin, sultana dan currant ialah raisin mempunyai saiz terbesar.

Sultana

Kredit gambar: Dreamstime

Sultana merupakan jenis anggur kering yang berwarna hijau pucat. Ia menggunakan beberapa jenis anggur seperti anggur Izmir di Turki, anggur Thompson Seedless di Amerika Syarikat dan Lady de Coverly di UK.

Kismis sultana dikatakan berasal dari zaman Kesultanan Uthmaniah. Ia mudah dikenali dengan warna yang perang dan keemasan.

Terma sultana ni juga dikenali sebagai golden raisin di Amerika Syarikat. Selain itu juga, ia dijual oleh jenama Sun-Maid, iaitu sebuah koperasi pengeluar kismis dari California.

Warna keemasan ini sebenarnya tidak datang secara semulajadi. Terdapat proses kimia menggunakan sulfur dioksida bagi mengeringkan anggur yang menjadikannya berwarna sedemikian.

Currant

Kredit gambar: MyRecipes

Currant mempunyai beberapa terma lain seperti Zante currants, Corinth raisins dan Corinthian raisins. Namun, di luar Amerika Syarikat ia hanya dijual sebagai currants.

Berbeza dengan raisin dan sultana, ia mempunyai saiz yang paling kecil. Kismis jenis currant merupakan kismis terawal yang dihasilkan oleh peradaban manusia. Penjualannya bermula sejak abad ke-14 lagi.

Bagi setiap 100g currant, ia mengandungi 283kcal tenaga. Kandungan gulanya juga sangat tinggi iaitu sekitar 67.28g.

Negara pengeluar currant terbesar ialah Greece. Ia mengeluarkan hampir 80 peratus currant di seluruh dunia. Bakinya dikeluarkan oleh Amerika Syarikat, Australia dan Afrika Selatan.