Beli rumah atau sewa? Ia soalan besar yang pastinya memberi dilema kepada setiap orang dewasa yang bekerja di Malaysia.

Biasanya orang akan mula dengan sewa rumah dulu. Tapi akan tiba satu masa dalam hidup seseorang bila dia mula tanya diri sendiri: daripada aku bayar sewa beribu ringgit setiap bulan, baik aku beli rumah!

Kalau anda pernah fikir benda sama, kepala anda mesti tengah sibuk fikir ‘pro and cons’ beli dan sewa rumah sebelum membuat keputusan. Jadi dalam artikel ini, kami akan ringkaskan proses membuat keputusan ini untuk anda.

Mengapa sewa rumah?

Boleh dikatakan semua kelebihan menyewa memberi manfaat kepada golongan bujang yang baru memasuki alam pekerjaan. Ini merupakan sebab-sebab mengapa mereka menganggap menyewa lebih berbaloi daripada membeli rumah:

1. Sewa rumah lebih murah

Apabila baru memasuki alam pekerjaan, mungkin sukar untuk anda mengikat diri dengan komitmen kewangan membeli rumah. Apatah lagi membeli rumah yang dekat dengan tempat kerja. Jadi adalah lebih berbaloi untuk anda menyewa bilik daripada membeli rumah terus.

2. Karier tak stabil lagi

Beli rumah juga bukan satu keputusan bagus kalau karier anda belum stabil lagi. Mungkin terma pekerjaan pertama anda adalah kontrak, bukan tetap. Jadi mustahil untuk bank meluluskan pinjaman perumahan memandangkan anda adalah pekerja kontrak.

Jika anda adalah usahawan, mungkin anda baru memulakan perniagaan dan tidak mempunyai pendapatan mencukupi secara tetap untuk membayar komitmen pinjaman perumahan.

3. Dekat dengan tempat kerja

Sebagai golongan muda yang tidak mempunyai kenderaan, keutamaan anda pastinya untuk menyewa di kawasan yang dekat dengan tempat kerja atau stesen pengangkutan awam.

Lagipun anda tak pasti, di mana anda akan bekerja 3-4 tahun akan datang. Bayangkan pening kepala anda bila lepas beli rumah di Selangor, anda dapat tawaran kerja lebih bagus di Pulau Pinang pula.

4. Ada komitmen lain lebih penting

Adat orang bujang lepas dapat kerja, mesti nak kahwin dulu. Matlamat untuk beli rumah mungkin anda tangguhkan dulu untuk memberi laluan kepada matlamat untuk berkahwin.

Mengapa beli rumah terus?

Bagi mereka yang sudah stabil kariernya, sudah berkahwin dan merancang untuk berkeluarga, membeli rumah adalah pilihan yang lebih menarik berbanding menyewa kerana sebab-sebab berikut:

1. Banyak insentif daripada kerajaan

Dalam usaha untuk membantu pembeli rumah pertama, kerajaan ada memberikan bantuan dari segi pengecualian duti setem, yuran SPA dan down payment 10% kepada mereka melalui program-program berikut:

  • Skim Perumahan Belia BSN MyHome;
  • Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit);
  • Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia; dan

Program-program ini diwujudkan bertujuan untuk mengelakkan lambakan rumah tak terjual selain menggalakkan orang ramai memiliki aset sendiri. Sayang jika insentif-insentif ini tidak dimanfaatkan.

2. Harga rumah semakin stabil

Harga rumah sememangnya semakin meningkat naik setiap tahun. Tetapi berdasarkan laporan Malaysian Home Index Price (MHPI) suku ketiga 2019, kadar peningkatan harganya sudah semakin berkurangan.

Dalam erti kata lain, harga rumah dah makin stabil.

3. Banyak insentif daripada pemaju

Ketika ini, dah banyak pemaju-pemaju perumahan yang menyediakan pelbagai pakej menarik seperti diskaun, rebat, kos yuran guaman percuma serta duti setem yang akan dibayar oleh pemaju. Semuanya untuk mencari pembeli.

Penganalisis ekonomi memanggil situasi ini sebagai pasaran untuk pembeli (buyer’s market).

Ketika ini dengan hanya bermodalkan RM3,000 dan profil kewangan yang baik, pembeli rumah boleh memiliki rumah bernilai RM500,000 yang terletak berhampiran dengan stesen MRT. Malah boleh dikatakan majoriti pemaju sedang berlumba-lumba menawarkan rebat, diskaun, insentif ‘zero-entry’ dan sebagainya untuk mencari pembeli.

4. Ada banyak projek rumah mampu milik

Kerajaan juga banyak membantu pembeli rumah pertama dengan mewujudkan banyak projek-projek perumahan mampu milik seperti:

  • PR1MA
  • Skim Rumah Pertamaku
  • Perumahan Penjawat Awam Malaysia
  • Rumah Selangorku (insentif kerajaan negeri Selangor)
  • Rumah Mesra Rakyat SPNB
  • RUMAWIP
  • PR1MA Rent to Own
  • Projek Perumahan Rakyat

Rumah-rumah yang berada di bawah semua projek ini boleh dimiliki oleh pembeli pada harga yang lebih rendah daripada pasaran.

5. Beli rumah lebih berbaloi berbanding sewa

Katakan individu A sedang menyewa sebuah kondominium dengan kadar sewa sebanyak RM1,300 sebulan.

Individu B pula membeli sebuah kondominium berharga RM260,000. Kadar bayaran pinjaman perumahannya adalah RM1,300 sebulan selepas membayar deposit 10% untuk pinjaman bertempoh 30 tahun.

Selepas 30 tahun, jumlah kos pembelian rumah individu B (termasuk down payment, bayaran pinjaman perumahan, cukai dsb) untuk sebuah rumah berharga RM260,000 di Malaysia adalah RM680,100.

Tetapi selepas 30 tahun, jumlah kos yang dikeluarkan oleh individu A untuk terus menyewa pula adalah sebanyak RM959,000! Anda boleh nampak kan kenapa membeli rumah lebih menjimatkan duit anda daripada menyewa dalam jangka masa panjang?

Malah membeli rumah sebenarnya akan mula jadi lebih murah daripada menyewa selepas 7 tahun.

Selepas 7 tahun, anda akan mula nampak kos menyewa yang dikeluarkan individu A (RM129,100) akan mula menjadi lebih tinggi daripada kos membeli rumah yang dikeluarkan individu B.

Dalam erti kata lain, jika anda merancang untuk duduk di tempat sama melebihi 7 tahun, pilihan yang lebih bijak adalah membeli rumah.

6. Boleh buat renovasi

Satu lagi kelebihan ketara apabila membeli rumah adalah anda bebas untuk membuat sebarang renovasi dalam kawasan rumah anda.

Jika anda menyewa, kebebasan ini mungkin tidak anda miliki kerana rumah yang anda sewa adalah milik orang lain.

Renovasi penting kerana ia mampu membuatkan rumah anda menjadi ‘rumah baru’. Ia juga boleh menjadi faktor terpenting untuk mencapai matlamat ‘rumahku syurgaku’.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: