Suatu ketika dahulu, set televisyen, radio, peti sejuk dan mesin basuh yang ada di rumah kebanyakannya daripada jenama National. Ia mendominasi pasaran sebelum kebanjiran barangan jenama lain dari Jepun seperti Sanyo dan jenama tempatan seperti Pensonic.

Sebagai sebuah konglomerat besar, Panasonic Corporation bermula dengan nama tempatan. Pertukaran kepada jenama Panasonic adalah bagi mengimbangi kejayaan jenama tersebut di peringkat global.

Selain itu juga, barangan yang dibuat oleh syarikat Jepun diketahui mempunyai kualiti yang tahan lama. Bermula sebagai Matsushita Electric Manufacturing Works, ini kisah jatuh bangun Panasonic Corporation.

Bermula dengan formula kegagalan

Kredit gambar: Wikipedia

Pada tahun 1917, Matsushita meninggalkan syarikat tempat beliau bekerja, Osaka Electric Light Company untuk memulakan perniagaan sendiri. Pada usianya yang sangat muda, beliau meninggalkan syarikat tersebut kerana idea ciptaanya ditolak mentah-mentah. Tanpa pelajaran formal, modal yang cukup dan pengalaman di dalam pembuatan, perniagaan baru ini pula dianggap gagal dari mula.

Matsushita Electric Manufacturing Works ketika itu dianggotai oleh Matsushita, isterinya, adik iparnya Toshio Iue dan beberapa orang pembantu. Kekurangan dana menyebabkan mereka tidak mampu untuk memberikan banyak pilihan kepada pengguna. Lantas, jualan merosot dan satu persatu pekerjanya meninggalkan Matsushita.

Pada satu ketika, syarikat tersebut hanya dianggotai oleh mereka bertiga sahaja. Namun begitu, kegigihan Matsushita dan Toshio Iue membuahkan hasil. Tatkala diambang kebankrapan, mereka menerima pesanan 1,000 plat insulator untuk kegunaan kipas. Hasil tersebut digunakan sebagai modal pusingan bagi syarikat.

Keadaan awal syarikat mereka sangat daif sehinggakan Matsushita terpaksa menggadaikan kimono milik isterinya bagi menjamin kelangsungan syarikat.

Idea lampu basikal yang berjaya 

Kredit gambar: Panasonic

Akhirnya, Matsushita mempunyai wang yang cukup untuk mengeluarkan lampu basikalnya sendiri. Idea ini menggunakan bateri berbanding lampu basikal pada ketika itu yang menggunakan minyak tanah dan lilin. 

Biarpun pada ketika itu sudah ada ciptaan bateri lampu basikal, ia tidaklah tahan begitu lama. Ciptaan Matsushita menggunakan rekaan lampu seperti peluru yang menggunakan tiga bateri dan mampu bertahan selama 30-40 jam. Lampu tersebut menggunakan jenama National.

Namun, beliau perlu pula meyakinkan penjual basikal untuk membeli lampu miliknya. Sekali lagi, Matsushita menggunakan cara gerila iaitu meninggalkan sahaja barangan tersebut di kedai basikal. Sekiranya lampu tersebut dikehendaki oleh pelanggan, barulah syarikatnya dibayar. Dengan cara itu, penjual basikal juga lebih yakin dengan barangan yang dihasilkan oleh beliau.

Idea itu akhirnya berhasil dan tempahan masuk berkali ganda.

Mencipta konglomerat gergasi 

Kredit gambar: Panasonic

Bermula dengan lampu basikal, Matsushita mula mencipta barangan lain seperti soket lampu, soket elektrik, bateri dan radio. Bagi memudahkan jualan, barangan ini diasingkan mengikut jenama dan kilang pengeluaran. 

Selain itu juga, Matsushita menyusun syarikatnya dengan meletakkan pegawai jualan dan pemasaran di seluruh negara. Mereka ini bertanggungjawab membina jaringan pembeli yang menjadikan Matsushita bergantung kepada pesanan. Hasilnya, kilang beroperasi untuk mengeluarkan produk yang telah mempunyai pembeli.

Dengan cara itu, kerugian dapat diminimakan dan barangan jenama National tersebar ke seluruh Jepun.

Bertukar kepada Panasonic

Kredit gambar: TV Technology

Nama PanaSonic mula-mula sekali digunakan oleh Matsushita seawal tahun 1955, khusus untuk lampu dan peralatan audio yang dijual di luar Jepun. Nama tersebut mendapat sokongan pengguna dan ia menjadi jenama yang lebih terkenal berbanding National. Selain itu juga, Matsushita menggunakan jenama Technics untuk barangan audio.

Pada tahun 1988, selepas kejayaan panjang jenama Panasonic di luar Jepun, timbul idea menggabungkan jenama tersebut menjadi National Panasonic. Ia bagi mengekalkan nama tempatan disamping jenama antarabangsa mereka.

Hanya pada tahun 2003, National Panasonic digantikan dengan jenama Panasonic dan kekal sehingga hari ini.