Zulfikri Zamir yang merupakan bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik mendedahkan Kerajaan Pakatan Harapan menuju ke arah kegagalan disebabkan kegopohan Kementerian Kewangan yang diketuai oleh pemimpin Parti Democratic Action Party (DAP).

Zamir yang turut dikenali dengan nama pena ZF Zamir menceritakan perkara itu kepada The Malaysian Insight dalam sebuah artikel op-ed. Artikel penuh boleh dibaca di sini.

Berikut merupakan ringkasan cerita beliau:

1. Kementerian Kewangan kurangkan bajet PKK dan BKK

ZF Zamir memulakan artikelnya dengan menceritakan rintangan yang dihadapi Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneruskan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) dan Perkhidmatan Kebersihan Bangunan & Keselamatan (KBK).

PKK merupakan program KPM yang membiayai pekerja kontrak keselamatan (pak guard) di sekolah. BKK pula membiayai pekerja kontrak kebersihan sekolah (janitor) di sekolah.

Embed from Getty Images

Menurutnya Kementerian Kewangan (MOF) berkeras ‘mahu mengurangkan bajet PKK sebanyak RM50.7 juta dan bajet BKK sebanyak RM427.3 juta untuk tahun 2019’. Ini bermakna bajet berkurang sebanyak RM478 juta berbanding tahun 2018.

Pengurangan bajet ini menyebabkan hampir 1,382 syarikat terlibat terjejas. Apabila syarikat ini terjejas, seramai 10,406 pekerja mereka terpaksa dihentikan kerja dalam dua fasa.

2. Jejas punca pendapatan golongan B40

Seperti yang diberitahu tadi, pengurangan bajet PKK dan BKK membuatkan 10,406 pekerja kontrak keselamatan dan kebersihan sekolah – majoritinya golongan B40 – terpaksa diberhentikan kerja.

Kebanyakan golongan ini bergantung hidup kepaa gaji sekecil RM900 hingga RM1,500 sebulan sahaja.

Dr. Maszlee Malik berjanji dalam dua mesyuarat pada Januari dan Mac 2019 bahawa golongan ini tidak akan diapa-apakan. Tetapi apabila beliau cuba memperjuangkan nasib mereka di hadapan MOF untuk mendapatkan bajet yang cukup, usul beliau ditolak mentah-mentah.

Sebaliknya MOF menyuruh KPM mencari sukarelawan dari kalangan ibu bapa yang tak bekerja untuk menjadi pak guard dan janitor di sekolah anak mereka.

3. Cerita mesyuarat jadi viral

ZF Zamir memberitahu cerita yang berlaku dalam mesyuarat antara MOF dengan KPM ini sampai kepada pengetahuan staf KPM.

Banyak staf KPM marah dengan tindakan MOF mengurangkan bajet terhadap program yang menggaji golongan B40.

Cadangan penyelesaian yang diusulkan oleh MOF (ambil ibu bapa sebagai sukarelawan) juga tidak logik. Jika sekolah kena ceroboh, siapa yang kena bertanggungjawab? Jika ibu-bapa diserang penceroboh, siapa akan tanggung kos perubatan?

4. Dari staf KPM, viral ke media pula

Cerita yang pada mulanya viral di WhatsApp group staf KPM sahaja, kemudiannya tertular ke pengetahuan akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Apabila berita ini sampai ke pengetahuan media, KPM tak dapat buat apa-apa.

5. ITBM diarahkan tutup

Selain PKK dan BKK, Institut Terjemahan Buku Negara (ITMB) juga menjadi mangsa rasionalisasi MOF kerana dikatakan ‘tak penting’. Dr. Maszlee menentang keputusan penutupan ITMB memandangkan 96% pekerjanya adalah orang Melayu.

ITBM masih beroperasi sehingga kini. Tetapi ia tidak menerima sebarang bajet dari MOF.

6. PADU diarahkan tutup

Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) turut diarahkan tutup oleh MOF walaupun badan ini sedang melaksanakan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

90% pekerja PADU kini sudah keluar mencari kerja baru.

7. IPG juga diarahkan tutup

ZF Zamir memberitahu perkara paling tak masuk akal yang dicadangkan oleh MOF kepada KPM adalah menutup Institut Pendidikan Guru (IPG). Menurut MOF, penutupan IPG dapat menjimatkan kerajaan RM213 juta kerana tidak perlu membayar elaun pelatih guru.

Sebagai penyelesaian, MOF mencadangkan semua pelajar perguruan untuk memohon masuk ke Fakulti Pendidikan mana-mana IPTA dan memohon PTPTN untuk membiayai pengajian.

Apabila Berita Harian mendedahkan cerita ini, Dr. Maszlee sekali lagi terpaksa menafikan.

Hanya selepas isu ini dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dan dimasuk campur oleh Perdana Menteri, barulah IPG dikekalkan.

8. Banyak permintaan Timbalan Menteri Pendidikan diluluskan MOF

ZF Zamir turut menceritakan banyak permintaan daripada Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan (YB Teo Nie Ching) diluluskan oleh MOF tanpa pengetahuan Dr. Maszlee sendiri.

Contohnya peruntukan RM60 juta kepada Universiti Tun Abdul Razak dan cawangan baru SMJK Heng Ee di Bayan Baru, Pulau Pinang.

9. Bajet RM450 juta untuk usahawan e-wallet

KPM juga terpaksa menelan pahit pengumuman MOF yang meluluskan bajet sebanyak RM450 juta untuk melaksanakan Program e-Tunai Rakyat. Sedangkan bajet ini boleh digunakan untuk membiayai gaji pekerja kontrak keselamatan dan kebersihan di sekolah.

10. Gopoh tanpa memikirkan majoriti

Kegopohan DAP untuk membuat perubahan (contohnya dalam industri e-tunai) dalam masa singkat membuatkan ahli-ahli politik korup kembali berkuasa.

Zamir menulis:

“PH masuk pada awalnya dengan imej sebagai kerajaan yang bersih. Namun 22 bulan setelah gagal mengurus kemenangan, PH keluar sebagai kerajaan yang paling rasis, paling perkauman dan paling teruk, paling anti Melayu dan Muslim.”

Baca juga artikel kami mengenai pendidikan di Malaysia: