Jika sebelum ini Bank Negara Malaysia (BNM) pernah mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.5 peratus pada awal tahun ini, kini bank pusat itu sekali lagi mengurangkan sebanyak 0.5 peratus OPR bagi mengimbangi situasi ekonomi global yang tidak menentu.
Keputusan BNM mengurangkan 0.5 peratus kadar faedah telah menjadikan penanda aras rujukan pinjaman tempatan itu kini hanya sebanyak 2.00 peratus sahaja.
Pengurangan terbaharu ini menjadikan kadar siling bagi OPR menjadi 2.25 peratus manakala kadar lantai pula serendah 1.75 peratus, kata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memetik laporan BH Online.
Menurut BNM, beberapa langkah drastik dalam mengawal penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan gangguan aktiviti ekonomi merentasi kebanyakan negara. Ianya menyebabkan persekitaran ekonomi global menjadi bertambah lemah secara mendadak.
“Petunjuk terkini menunjukkan bahawa ekonomi global sudah pun menguncup, dengan pertumbuhan global diunjurkan menjadi negatif bagi tahun ini.
“Persekitaran kewangan juga menjadi sempit di tengah-tengah meningkatnya risiko dan ketidaktentuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BNM turut menyatakan bahawa keadaan ekonomi domestik di negara kita turut terjejas akibat pandemik ini.
Katanya, langkah pembendungan yang meluas di seluruh dunia, penutupan sempadan antarabangsa dan keadaan permintaan luar yang seterusnya lemah akan memberikan kesan lebih besar terhadap kegiatan ekonomi dalam domestik.
“Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dikuatkuasakan di negara ini untuk membendung virus ini daripada merebak, perintah itu juga mengekang kapasiti pengeluaran dan perbelanjaan.
“Keadaan pasaran pekerja juga dijangka ketara lebih lemah. Keadaan ekonomi akan menjadi sangat mencabar, terutama pada separuh pertama 2020,” katanya.
Sungguhpun begitu, BNM berkata, langkah rangsangan fiskal bersama-sama langkah monetari dan kewangan akan menyokong ekonomi.
Bank pusat berkata, tekanan inflasi dijangka menjadi sederhana dan purata inflasi keseluruhan mungkin menjadi negatif tahun ini, terutama disebabkan oleh unjuran harga minyak dunia yang ketara lebih rendah.
Katanya, sektor kewangan negara terus teguh dengan institusi kewangan beroperasi menerusi penampan modal dan mudah tunai yang kukuh.
Baca juga artikel menarik lain yang berkaitan dengan ekonomi: