Apakah yang dimaksudkan dengan Bitcoin? Bitcoin adalah sebahagian daripada mata wang digital atau kripto. Terdapat banyak jenis mata wang kripto seperti Ethereum (ETH), Litecoin (LTC), Ripple (XRP) dan Monero (XMR). Perbezaannya, Bitcoin merupakan mata wang kripto tertua dan mempunyai nilai paling besar berbanding mata wang digital yang lain. Dicipta pada tahun 2009 oleh seseorang yang menggunakan nama samaran Satoshi Nakamoto, nilai 1 Bitcoin (BTC) hanya mencecah $1 pada 9 Februari 2011, iaitu dua tahun selepas penciptaannya.

Ramai yang berpandangan Bitcoin bukanlah instrumen pelaburan yang baik untuk dibeli ketika harganya rendah dan dijual pada harga tinggi seperti mana-mana pelaburan yang lain. Ini kerana nilai Bitcoin sangatlah tidak stabil.

Spekulasi pertama yang mencetuskan kenaikan harga Bitcoin

Kredit gambar: https://cointelegraph.com/news/comply-or-close-shop-cyprus-sec-to-international-forex-bitcoin-traders

Secara lumrahnya, apabila permintaan terdapat permintaan yang tinggi terhadap sesuatu barang maka harganya akan melonjak naik. Sebaliknya apabila permintaan menurun, harganya juga akan menjunam turun. Teori yang sama boleh digunakan terhadap naik turun harga mata wang kripto seperti Bitcoin ini.

Pada tahun pertama ianya dikeluarkan iaitu pada 2009, Bitcoin telah mencatatkan harga yang sangat rendah. Hanya pada tahun 2013, Bitcoin telah mula mendapat permintaan yang tinggi sewaktu berlakunya krisis perbankan di Crypus. Untuk mengelakkan wang simpanan mereka kehilangan nilai, rakyat di negara kecil tersebut membeli Bitcoin dengan transaksi berjumlah 60,000 BTC hingga 110,000 BTC bertukar tangan hampir setiap hari.

Harga Bitcoin juga melonjak kepada 87 peratus apabila kerajaan Cyprus membincangkan penggunaan wang di dalam bank negara tersebut sebagai penyelesaian pinjaman dengan IMF dan Kesatuan Eropah (EU). Kesannya, rakyat Cyprus mengeluarkan simpanan mereka di bank dan berebut-rebut untuk menukarkan wang mereka dengan Bitcoin. Keadaan ini melonjakkan harga Bitcoin dalam masa beberapa hari sahaja iaitu pada 28 Mac 2013, Bitcoin diniagakan pada $88 untuk 1BTC, berbanding $47 pada 16 Mac 2013.

Pengharaman kripto di institusi kewangan Kerajaan China

Kredit gambar: https://technode.com/2019/07/29/bank-of-china-infographic-bitcoin/

Pada tanggal 19 Mei 2021, Kerajaan China mengumumkan pengharaman transaksi kripto di semua institusi kewangan. Pengumuman ini meyebabkan sebanyak RM2.071 trilion (US$500 bilion) hilang daripada nilai pasaran matawang Bitcoin. Harga Bitcoin juga jatuh sebanyak 30 peratus kepada $31,000. Sekiranya dibandingkan dengan nilai tertinggi yang pernah dicatatkan oleh Bitcoin iaitu $65,000, nilai matawang kripto itu kini telah berkurangan sebanyak 50 peratus. Pengumuman oleh Kerajaan China ini juga membawa kepada kejatuhan nilai Ethereum, kripto kedua terbesar selepas Bitcoin kepada 40 peratus.

Mengapa institusi kewangan China diharamkan dari memproses pembayaran mata wang kripto?

Pengharaman ini dibuat berdasarkan nilai semasa mata wang kripto yang tidak menentu lantas menyebabkan risiko tinggi terhadap pemilikan harta benda rakyat China. Pergerakan nilai kripto juga menyebabkan berlaku gangguan kepada ekonomi dan pasaran kewangan negara terbabit. Kerajaan China juga menganggap nilai kripto tidak disandarkan kepada mana-mana nilai mutlak dan munasabah, lantas menyebabkan risiko yang tinggi terhadap kedaulatan negara terbabit.

Institusi kewangan di China tidak lagi dibenarkan untuk memberikan sebarang perkhidmatan berkaitan mata wang kripto seperti pendaftaran, jual beli, pasaran dan juga mengeluarkan rekod bagi sebarang transaksi kewangan. Sebenarnya sejak tahun 2017 lagi China mempunyai arahan untuk tidak membenarkan sebarang operasi tukaran mata wang kripto tempatan untuk menjalankan perniagaan mereka di negara tersebut.

Biarpun Kerajaan China tidak mengharamkan perlombongan dan pemilikan mata wang kripto oleh rakyatnya, nilainya tetap menyusut tanpa sokongan dasar monetari rasmi gergasi ekonomi tersebut. China merupakan negara yang memiliki pelombong Bitcoin tertinggi dengan 65 hingga 70 peratus daripada pelombong Bitcoin di dunia berpusat di China.

Elon Musk, Tesla dan advokasi terhadap Bictoin

Kredit gambar: https://hypebeast.com/2021/5/bitcoin-rate-drops-elon-musk-tweet-info

Elon Musk dilihat mempunyai hubungan yang sangat berpengaruh dengan nilai mata wang ini. Pada awalnya, beliau merupakan tenaga yang berterusan menyokong penggunaan kripto berbanding mata wang fiat. Namun, segalanya berubah apabila Elon Musk melihat kesan perlombongan Bitcoin terhadap alam sekitar.

Jurnal saintifik Joule melaporkan pada tahun 2019, sebanyak 22 hingga 22.9 juta tan metrik karbon dioksida dilepaskan selama setahun bagi menampung operasi perlombongan Bitcoin. Pada pandangan Elon Musk, mata wang kripto tidak patut dilombong dengan meninggalkan jejak karbon yang begitu besar terhadap alam sekitar, lantas menyebabkan pencemaran. Begitu juga dengan laporan penyelidikan oleh Citigroup yang menunjukkan perlombongan Bitcoin pada ketika ini menggunakan 66 kali ganda lebih tenaga elektrik berbanding tahun 2015.

Tindakan seterusnya yang dibuat oleh Elon Musk adalah menghentikan penerimaan Bitcoin sebagai mata wang yang diterima oleh syarikatnya Tesla sebagai salah satu tukaran yang diterima. Penolakan oleh Elon Musk yang sebelum ini merupakan suara advokasi ulung terhadap penggunaan mata wang kripto menyebabkan nilai Bitcoin jatuh mendadak.

Tesla merupakan antara syarikat yang mempunyai pelaburan yang besar di dalam bentuk mata wang kripto. Pada Mac 2021, Tesla dilaporkan memiliki pelaburan Bitcoin dengan nilai sebanyak RM6.1 bilion ($1.5 bilion). Maka penolakan syarikat gergasi seperti ini sudah tentu menghakis kepercayaan masyarakat umum terhadap mata wang tersebut.

Peranan Jack Dorsey dan masa depan mata wang kripto

Kredit gambar: https://thecryptosight.com/jack-dorsey-praises-bitcoin-denies-following-facebook-libra-movement/

Selain Elon Musk, Jack Dorsey merupakan suara advokasi mata wang kripto yang masih tegar mempertahankan sokongannya. Pada persidangan Bitcoin 2021, Jumaat lalu Jack Dorsey yang juga CEO dan pengasas kepada Twitter dan Square dilaporkan berkata tiada lagi usaha penting yang lebih utama berbanding membantu Bitcoin. Sekiranya bukan kerana peranan yang dimilikinya di Twitter dan Square, sudah pasti beliau akan menumpukan usaha untuk membantu Bitcoin.

Menurut Jack Dorsey, Bitcoin mempunyai potensi untuk menjadi instrumen kewangan yang inklusif dan boleh membantu mereka yang tidak berkemampuan. Seperti apa yang berlaku di Cyprus, beliau juga percaya Bitcoin mempunyai peranan besar sebagai alternatif kepada pemilikan wang dalam bentuk fiat yang juga tidak kalis kepada spekulasi dan mudah sahaja susut nilai.

Menerusi syarikatnya Square, 5 peratus daripada aset syarikat tersebut berbentuk pelaburan di dalam Bitcoin. Pembelian secara besar-besaran dibuat kali terakhir pada Februari tahun ini dengan pembelian 3,318 Bitcoin pada harga RM701 juta ($170 juta). Square juga dilaporkan berminat untuk mencipta hardware wallet untuk Bitcoin selepas ini.

Buat masa ini, Jack Dorsey dilihat akan terus menjadi suara advokasi bagi Bitcoin. Beliau sendiri mendermakan hasil jualan NFT pertamanya dalam bentuk Bitcoin dengan nilai RM11.9 juta ($2.9 juta) kepada mangsa Covid-19 di Afrika. Dan nilai Bitcoin dijangka akan terus tidak stabil.