Gmail adalah projek yang dirintis oleh Paul Buchheit, seorang pembangun perisian di Google yang telah meneroka idea e-mel berasaskan web sejak tahun 1990-an lagi. Sebenarnya, Paul telah meneroka idea ini jauh lebih awal sebelum pelancaran Hotmail sebagai satu projek perisian e-mel peribadi semasa beliau masih lagi seorang pelajar di Case Western Reserve University.

Gmail sebagai e-mel dalaman pekerja Google

Kredit gambar: https://www.inc.com/magazine/201107/when-plans-a-b-and-c-go-wrong.html

Paul memulakan kerjanya sebagai pembangun perisian di Intel, sebelum menyertai Google pada bulan Ogos 2001. Apabila Paul menyertai Google, tugasan pertama yang diberikan kepadanya adalah membina beberapa jenis sistem e-mel.

Tahukah anda, Paul hanya memerlukan satu hari untuk membina versi pertama Gmail dengan menggunakan coding yang telahpun dibangunkan sebelum ini oleh Google.

Projek e-mel dalam ini pada mulanya hanya dikenali dengan nama projek Caribou. Apabila selesai dibangunkan dan teruji keberkesanannya, Gmail kemudiannya mula digunakan sebagai e-mel dalaman bagi pekerja-pekerja di Google.

Dilancarkan pada tarikh April Fool’s kepada umum

Kredit gambar: https://in.pinterest.com/pin/678776975077588562/

Pada 1 April 2004, Google mengumumkan Gmail selepas pelbagai khabar angin mengenai ujian demi ujian yang dilakukan. Namun begitu, tarikh yang dipilih sebenarnya agak pelik, lantaran Google sebelum ini terkenal dengan cubaan April Fool’s kepada umum.

Demi memastikan Gmail dianggap sebagai serius oleh pengguna, Naib Presiden Produk Google pada ketika itu, Jonathan Rosenberg terpaksa mengeluarkan kenyataan di BBC yang berbunyi: “Kami sangat serius tentang Gmail.”

Gmail pada mulanya diakses melalui rangkaian 300 buah komputer berperisian Intel Pentium III yang tidak mahu digunakan oleh sesiapa pada waktu itu di syarikat seperti Google. Selepas melalui fasa 1,000 orang pengguna beta yang boleh menjemput rakan-rakan mereka untuk turut sama mencuba Gmail, akhirnya software baru ini pantas mendapat tempat di hati pengguna e-mel pada waktu itu.

Jemputan Gmail yang bernilai RM618.07 pada tahun 2004

Selepas melalui fasa beta, Gmail semakin diminati oleh pengguna. Mana tidaknya, pesaing terdekat seperti Yahoo dan Hotmail hanya mampu memberikan storan sebanyak dua hingga empat megabytes sahaja, berbanding Gmail yang memerikan storan pada kadar satu gigabytes. Pada waktu itu, storan tersebut hanya mampu untuk menampung beberapa e-mel dari Myspace sekiranya anda terlupa kata laluan.

Pengguna aktif dari komuniti Blogger pada waktu itu juga ditawarkan untuk mengambil bahagian dalam ujian beta Gmail pada 20 April 2004. Selepas itu, pengguna awal Gmail kerap kali menerima kuota jemputan yang boleh mereka berikan kepada sesiapa sahaja. Satu daripada kuota jemputan bagi menggunakan Gmail telah diberikan pada 1 Mei 2004 dan baki untuk tiga lagi jemputan diberikan kepada semua pengguna yang aktif pada 1 Jun. 

Limitasi jemputan ini menyebabkan berlaku jual beli bagi mendapatkan jemputan sebagai pengguna Gmail yang dianggap ekslusif pada waktu itu. Satu-satu jemputan terjual hampir RM618.07 (USD150) di laman sesawang eBay. Terdapat juga sekumpulan pengguna yang mahu mendermakan jemputan mereka memulakan inisiatif ini dengan memberikan jemputan secara percuma di laman sesawang Gmail Swap. Urusan jual beli jemputan Gmail ini kemudiannya diharamkan oleh Google, dengan syarikat tersebut mengeluarkan lebih banyak jemputan kepada pengguna baru lantas menjadikan jemputan ini tidak lagi bernilai tinggi.

Gmail pada hari ini 

Setakat tahun 2021, Gmail merupakan e-mel pilihan kepada 1.5 bilion pengguna. Sekiranya dibandingkan dengan 4.66 bilion pengguna internet di seluruh dunia, Gmail digunakan oleh 32% daripada keseluruhan pengguna internet. Sebanyak 105 bahasa juga boleh digunakan sebagai bahasa paparan di Gmail. 

Jadi, bilakah pula tarikh anda mendaftar akaun Gmail anda?

Sumber: