Seorang pengarah filem Hollywood terkenal mendedahkan Apple tidak membenarkan sebarang watak jahat dalam filem untuk memakai mana-mana model telefon iPhone.

Rian Johnson, pengarah filem pecah panggung ‘Knives Out’, mendedahkan Apple membenarkan jenama dan telefon pintar mereka digunakan dalam filem tanpa sebarang bayaran – dengan satu syarat. Syaratnya adalah: watak jahat dalam filem tidak dibenarkan dilihat menggunakan telefon iPhone.

Johnson mendedahkan rahsia tersebut dalam satu video temuramah terbitan Vanity Fair.

Dalam filem Knives Out yang diarahkan oleh Johnson, semua watak dapat dilihat menggunakan iPhone kecuali satu watak – Ransom Dyrsdale lakonan Chris Evans.

Ada satu babak dalam filem tersebut di mana Ransom tiba di rumah Thrombey yang turut mengumpulkan beberapa watak utama lain buat kali pertama. Semua watak menggunakan iPhone kecuali Ransom.

Mana-mana penonton yang tahu fakta ini pastinya akan terus dapat mengecam bahawa Ransom adalah watak jahat dalam Knives Out. Yang tak tahu, perlu menunggu sehingga hujung filem sebelum Ransom didedahkan sebagai watak jahat.

“Saya tak tahu sama ada saya patut bagitahu atau tak,” kata Johnson dalam video tersebut. “Sebab rahsia ini akan rosakkan filem misteri yang saya akan buat lepas ini.

“Apple beri kebenaran kalau anda nak pakai iPhone dalam filem anda. Tapi mereka tak bagi watak jahat pakai iPhone terang-terang depan kamera. Setiap pengarah filem yang mahu rahsiakan perkara ini mesti nak bunuh saya sekarang,” dedahnya.

Besar kemungkinan pengarah filem misteri akan mengelak menggunakan iPhone dalam filem mereka selepas ini susulan pendedahan rahsia oleh Johnson.

Ia juga menjelaskan mengapa dalam siri televisyen ’24’, semua watak baik memakai MacBook. Manakala semua watak jahat memakai PC.

Knives Out yang mula ditayangkan di Malaysia pada hujung 2019 lepas menjadi filem pecah panggung. Ia mengutip kutipan sebanyak US$306 juta (RM1.3 bilion) di seluruh dunia. Kejayaan Knives Out ini merupakan satu fenomena baru perfileman Hollywood yang banyak bergantung kepada premis filem francais untuk membuat kutipan pecah panggung sebegitu besar.

Knives Out kini dilaporkan akan dikembangkan menjadi francais untuk syarikat produksi Lionsgate. Lionsgate baru-baru ini telah mengumumkan Knives Out akan mempunyai sekuel yang sekali lagi akan ditulis dan diarah oleh Johnson.

Plot sekuel akan berkisar kepada watak Daniel Craig, penyiasat Benoit Blanc yang menyiasat kes pembunuhan baru.