Sebuah aplikasi bernama Finger on The App menjanjikan hadiah wang tunai USD25,000 (RM106,900) jika anda berjaya buat satu benda – jadi orang paling lama letak jari di skrin telefon anda. Itu sahaja.
Pembangun aplikasi Finger on The App, MSCHF mengumumkan cabaran tersebut akan bermula pada hari Rabu, 1 Julai, 3 pagi waktu Malaysia.
Bagaimana untuk menang?
Untuk menang hadiah wang tunai tersebut, anda perlu:
- Muat turun aplikasi Finger on The App di App Store.
- Buka aplikasi dan letak jari anda di skrin.
- Jadi orang paling lama letak jari di skrin.
Cabaran ini terbuka penyertaannya di seluruh dunia. Bagaimana pun ada satu perkara yang perlu anda tahu:
Peserta yang kalah boleh menentukan jumlah hadiah wang tunai yang bakal diterima oleh pemenang. Ini bermakna jika peserta-peserta yang anda kalahkan itu baik hati dan mengundi jumlah hadiah wang tunai yang tinggi, anda akan dapat hadiah wang tunai yang tinggi (maksimum USD25,000).
Jika peserta-peserta yang anda kalahkan itu bersikap dengki dan mengundi jumlah hadiah wang tunai yang rendah, anda akan dapat hadiah wang tunai yang rendah.
Pemenang akan membawa pulang jumlah purata hadiah wang tunai yang diundi oleh peserta yang kalah.
Dalam erti kata lain, jumlah hadiah wang tunai yang pemenang akan dapat bergantung kepada belas kasihan peserta yang dikalahkannya.
Finger on The App merupakan produk ke-24 MSCHF. Setiap dua minggu, MSCHF akan membuka cabaran baru.
Ia juga merupakan kolaborasi pertama syarikat itu dengan personaliti YouTube. Dalam cabaran ke-24 ini, MSCHF berkolaborasi dengan MrBeast yang mempunyai lebih 37 juta pelanggan di salurannya dan terkenal dengan video-video cabaran.
Menurut Ketua Strategi MSCHF Daniel Greenberg, cabaran Finger on The App ini telah dirangka oleh mereka sejak 4-5 bulan yang lepas.
“Finger on The App adalah cabaran sekali seumur hidup. Semua produk kami dibina untuk jangka masa pendek sahaja. Jika semua perancangan kami berjaya, ia bakal menjadi detik paling unik di Internet,” katanya.
Potensi kehadiran penipu dalam Finger on The App
Menyedari cabaran mereka yang terbuka di seluruh dunia bakal disertai oleh orang yang sanggup menipu untuk menang, MSCHF telah bersiap sedia.
Menurut mereka, peserta tidak boleh memasang stylus (pen skrin) untuk menang. Jari peserta perlu mengikuti bulatan di skrin dan menyeret jari mereka berdasarkan kedudukan bulatan tersebut pada masa-masa tertentu.
Mekanisme antara dalam pengguna (UI) ringkas ini adalah untuk memastikan setiap peserta memakai jari, bukannya perisian yang bertujuan untuk menipu.
MSCHF menggalakkan peserta supaya menyertai cabaran ini dengan kawan-kawan mereka.
“Jika anda membenarkan akses Bluetooth untuk Finger on The App dan bermain dalam jarak 10 kaki dengan kawan, anda berdua akan dapat nyawa lebih.
“Ini bermakna walaupun jika jari anda terangkat dari skrin, anda akan dapat masa 10 saat untuk meletakkan semula jari di atas skrin. Anda boleh dapat 3 nyawa maksimum.”
MSCHF turut mengingatkan jika telefon anda menerima panggilan (dalam erti kata lain, terkeluar dari aplikasi tersebut), anda akan tersingkir.
“Pastikan telefon anda mempunyai sambungan WiFi. Jika anda menerima panggilan, deringan jam loceng atau apa-apa gangguan yang menyebabkan aplikasi Finger on The App terganggu, anda akan kalah walaupun anda tak angkat jari dari skrin.
“Ingat – jari mesti berada di atas APP. Bukannya jari di atas TELEFON.”
Cabaran Finger on The App hanya untuk pengguna iPhone sahaja
MSCHF turut mengingatkan peserta supaya memuat turun aplikasi Finger on The App sebelum cabaran bermula pada pukul 3 pagi 1 Julai 2020 waktu Malaysia.
Ini bermakna cabaran ini tidak boleh disertai oleh pengguna Android.
Menurut Tech Crunch, Finger on The App tiada iklan, tiada penaja dan tiada yuran penyertaan. MSCHF difahamkan cuba menjadikan cabaran ini tular supaya jenama mereka topik sohor kini di Internet. Setakat ini syarikat itu telah menarik pelaburan sebanyak USD11.5 juta (RM49.2 juta).
Kepada anda yang akan menyertai cabaran ini, kami di Rencah ingin mengucapkan selamat berjaya!