Pada hari ini, 26 Julai 2021 tepat jam 11.00 pagi, seramai 5,000 orang pegawai perubatan kontrak dijangka akan mengadakan mogok dengan ‘walk out’ secara besar-besaran. Gerakan tersebut menggunakan kolektif yang dikenali sebagai Hartal Doktor Kontrak bagi mengelakkan nama mereka dikenal pasti dan berdepan kemungkinan diambil tindakan.

Ini merupakan kali pertama kali dalam sejarah negara apabila para petugas barisan hadapan secara terbuka melakukan protes kepada kerajaan dan menuntut pembelaan terhadap nasib mereka. Mogok ini akan menjadi perhatian ramai kerana diadakan ketika sistem penjagaan kesihatan awam mengalami tekanan luar biasa akibat pandemik Covid-19.

Tatkala negara sedang berhadapan dengan Covid-19 yang mencatatkan kes tertinggi semalam, pegawai perubatan kontrak memaklumkan bahawa mereka kini sedang diperah habis-habisan. Maka, kumpulan tersebut menuntut pembelaan sewajarnya terhadap kebajikan mereka. Sehingga kini, beberapa pertubuhan seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan sokongan terhadap tuntutan gerakan itu namun tidak menyatakan pandangan mereka terhadap tindakan mogok tersebut.

Sebelum ini, menerusi sepucuk surat yang dialamatkan kepada pengarah hospital-hospital awam, jabatan kesihatan daerah dan negeri, Hartal Doktor Kontrak memberitahu rancangan mereka untuk mengadakan hartal itu akan tetap diteruskan. Melalui surat yang sama, kumpulan terbabit meminta hospital mencari pengganti sepanjang tempoh hartal selama sehari.

Isu berpanjangan sejak tahun 2016

Kredit gambar: https://www.facebook.com/hartaldoktorkontrak/photos/118598737145871

Sistem lantikan secara kontrak ini bermula pada tahun 2016 apabila Menteri Kesihatan ketika itu, Dr S Subramaniam mengumumkan 2,544 lantikan pegawai perubatan atau doktor, pegawai pergigian dan pegawai farmasi dibuat secara kontrak. Sehingga hari ini, terdapat lebih 32,516 pegawai kesihatan yang menerima lantikan secara kontrak untuk tiga skim iaitu pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi. Daripada jumlah tersebut, kumpulan terbesar adalah seramai 23,077 yang terdiri daripada pegawai perubatan Gred UD41.

Daripada jumlah tersebut pula, hanya seramai 789 daripada 2,544 pengambilan pertama pada 2016, pengambilan pertama pada 2017 dan sebahagian pengambilan kedua pada 2017 diberikan lantikan tetap. Mengikut jumlah lantikan tersebut, hanya 3 peratus daripada pegawai perubatan tersebut yang layak untuk menerima jawatan tetap setiap tahun.

Pegawai perubatan lantikan kontrak ini menerima gaji yang kurang daripada pegawai tetap namun mereka mempunyai bebanan tugas yang sama. Ironinya, pegawai kontrak tidak mempunyai akses terhadap cuti, faedah, pencen serta peluang latihan seperti yang dinikmati oleh pegawai tetap.

Apa yang paling malang adalah kontrak mereka boleh ditamatkan pada bila-bila masa.

Tuntutan Hartal Doktor Kontrak dan cadangan kabinet

Kredit gambar: https://www.facebook.com/hartaldoktorkontrak/photos/a.105280205144391/106004235071988

Menurut laman Facebook mereka, Hartal Doktor Kontrak menuntut tiga perkara daripada kerajaan iaitu:

  1. Jaminan pelantikan tetap bagi para doktor kontrak dan baru;
  2. Hak gaji samarata dengan doktor tetap yang menjalankan tugas sama; dan
  3. Kebajikan yang serupa, termasuklah cuti dan faedah.

Jumaat lalu, kabinet dilaporkan bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib mereka. Penyelesaian segera tersebut dibuat bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran. Selain itu juga, kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Jemaah menteri juga bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan hadiah latihan persekutuan. Selain itu juga, kerajaan akan menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti cuti tugas khas perubatan, cuti tibi dan kemudahan tambang bagi mengunjungi wilayah asal.

Namun begitu, tawaran kerajaan untuk menyambung kontrak lantikan bukanlah suatu penyelesaian menurut gerakan Hartal Doktor Kontrak. Menurut mereka lagi, penyelesaian tersebut bersifat separuh masak dan langsung tidak mencerminkan keadaan sebenar yang dihadapi mereka di lapangan.

Lantas, mogok pada hari ini akan berjalan seperti yang dijadualkan.