Anugerah Lagu Indie merupakan platform tepat bagi lagu-lagu berkualiti yang tak masuk radio untuk diberi pengiktirafan sewajarnya.
Apa yang anda buat bila lagu berkualiti artis-artis tempatan dipandang sepi di arus perdana? Bagi penggiat muzik bebas (indie), jawapannya adalah dengan mencipta ekosistem mereka sendiri.
Idea untuk menganjurkan Anugerah Lagu Indie lahir apabila Hashtag Media, Kamar Seni Studio dan Angkasa Space melihat Anugerah Juara Lagu (AJL) bukanlah pertandingan yang mempertandingkan kualiti lagu semata-mata, sebaliknya populariti lagu juga menjadi kayu ukur penting dalam pertandingan itu.
“AJL dah jadi ‘Anugerah Juara Lagu-Lagu Popular’,” kata Mohd. Hezry Mohd. Hafidz atau AG Coco, pemilik Kamar Seni Studio yang juga salah seorang tulang belakang dalam penganjuran ALI.
Kata-kata AG itu relevan kerana dalam AJL, sesebuah lagu perlu meraih undi peminat terlebih dahulu sebelum terpilih ke separuh akhir dan pada peringkat itu barulah kualitinya dipertandingkan.
“Kita betul-betul nilai kualiti termasuk dari segi produksi lagu (di studio). Kita tolak populariti. Artis yang orang tak kenal pun kita terima,” kata AG apabila membandingkan ALI dengan AJL.
AG bersama Mohd. Zulhelmie Zullifan (Elmi) dan Azim ‘Jenk’ Ali merupakan ‘kepala’ utama dalam penganjuran ALI dan ketiga-tiga mereka berkongsi harapan yang sama iaitu pertandingan itu mampu membuka mata penggiat dan peminat industri muzik negara tentang kewujudan pencipta lagu berpotensi yang bergiat secara indie di Malaysia.
“Kami tak sasarkan artis yang ada nama saja. Mereka yang buat lagu orang tak pernah dengar pun, kalau ada kualiti ada peluang dalam pertandingan ini,” kata Elmi, pengasas Hashtag Media dan Angkasa Space.
Anugerah Lagu Indie alternatif AJL
Pencalonan untuk Anugerah Lagu Indie (ALI) dibuka bermula 27 Julai lalu dan akan berakhir pada 14 Ogos ini. Setakat ini, sudah ada 350 lagu dan dijangka bertambah menjelang tarikh tutupnya nanti.
ALI yang meminjam konsep AJL akan melibatkan persembahan secara langsung oleh artis bertanding dalam tiga sesi separuh akhir sebelum 12 lagu terbaik dipilih untuk pertandingan akhir.
Kesemua peringkat itu akan disiarkan secara percuma di saluran Youtube Kamar Seni Studio.
Walaupun sukar untuk menandingi prestij AJL, ALI adalah platform yang baik untuk mengangkat karya-karya baharu yang berkualiti untuk diketengahkan dalam industri muzik Malaysia.
Sekurang-kurangnya, ALI memberikan peluang untuk lagu-lagu indie yang sangat sukar menembusi radio serta rancangan televisyen arus perdana mendapat perhatian para juri yang merupakan profesional dalam industri muzik Malaysia.
“Berbanding lagu-lagu ini cari mereka (juri), kita bawa mereka untuk dengar lagu-lagu ini,” kata Elmi.
Terima 630 lagu
Selepas menerima sejumlah 630 buah lagu hasil karya anak tempatan dan ahli muzik bebas (independent), Anugerah Lagu Indie hari ini mengumumkan 35 lagu yang bakal berentap di peringkat Separuh Akhir.
Lagu-lagu yang berjaya ke peringkat Separuh Akhir ini telah dipilih oleh 7 orang juri Anugerah Lagu Indie iaitu Jennifer Thompson, AD Samad, Loy Ekzan, Fly Halizor, Jadlobo dan Azim Jenk Ali.
Selepas melalui proses saringan yang berlangsung pada (nama bulan) lalu, sebanyak 200 buah lagu terbaik sepanjang tahun 2019 sehingga 14 Ogos 2020 telah disenarai pendek dan hanya 30 buah lagu sahaja yang terpilih untuk ke peringkat Separuh Akhir.
Manakala 6 lagi lagu yang terpilih ke peringkat Separuh Akhir adalah lagu-lagu yang pernah atau sedang mengungguli Carta Indie Kita di radio Rakita 107.9, stesen #MuzikPalingLit. Rakita juga pada hari ini diumumkan sebagai “Rakan Penganjur” Anugerah Lagu Indie 2020.
Dengan kepelbagaian genre di dalam acara ini, kewujudan Anugerah Lagu Indie ini
diharap dapat mengangkat martabat penulis lagu, penulis lirik, pemuzik dan penyanyi bebas (indie) di dalam industri muzik Malaysia.
Dari 36 buah lagu yang bertanding di dalam Separuh Akhir Anugerah Lagu Indie ini, hanya 12 sahaja yang bakal terpilih untuk berentap di Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie yang bakal diadakan pada 3 Oktober 2020 nanti di Spacerubix, Puchong.