Hasil usaha Aryanna Alyssa Dezek berkarya di YouTube sejak berusia empat tahun membuahkan hasil selepas berjaya membeli kereta idamannya, Toyota Vellfire pada umur 12 tahun.

Menurut Alyssa, Toyota Vellfire berharga RM250,000 itu dibeli dengan menggunakan wang yang dikumpulnya menerusi iklan Google Adsense di YouTube.

“Tak sangka juga budak yang baru berusia 12 tahun macam saya, sudah berjaya membeli sebuah kereta hasil duit yang diperoleh daripada saluran YouTube

“Saya sangat gembira apabila dapat membeli kereta idaman ini sekali gus boleh digunakan untuk tujuan kerja dan berkongsi kesenangan dengan keluarga. Lagipun, saya ingin menghargai diri selepas bekerja keras.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang bukan saja berada di Malaysia tetapi di Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina. Tanpa sokongan anda tak mungkin YouTube saya berjaya sampai ke tahap ini dan memiliki lebih 3 juta langganan. YouTube juga membantu menghubungkan saya dengan peminat di beberapa negara Asia.

“Malah single terbaharu saya berjudul Lagu Untuk Kamu sudah berjaya ditonton sebanyak 59 juta selain ada video-video lain yang berjaya mendapat jutaan tontonan,” katanya.

Menurut Alyssa, dia berharap kejayaan saluran YouTube miliknya dapat memberi inspirasi kepada orang luar terutama kanak-kanak yang sebaya dengannya.

“Saya harap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada semua kanak-kanak. Bayangkan di usia 12 tahun ini, saya boleh beli kereta sendiri.

“Apa yang dimiliki ini bukan nak menunjuk, tapi saya ingin beritahu kepada semua orang bahawa kita mampu mencapai apa yang diinginkan. Cuma perlu berusaha untuk mencapainya.

“Setiap orang boleh cuba dan hasilkan video yang berfaedah dan kreatif. Buatlah video yang boleh menarik perhatian penonton,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Alyssa lagi, dia berterima kasih kepada ibunya, Suzanne Desek kerana sudah mendaftar saluran itu sejak lapan tahun lalu.

“Mulanya ibu yang mencadangkan video nyanyian saya dimuat naik di YouTube kerana boleh menyimpan segala kenangan.

“Sejak memulakan saluran itu pada tahun 2012, banyak video dimuat naik menjadi tular seperti lagu Kun Anta yang dinyanyikan semula hingga penyanyi asal ingin bertemu dengan saya ketika dia datang ke Malaysia tidak lama dulu.

“Malah perkongsian saya bermain ukulele seawal umur empat tahun pun turut menarik perhatian penonton di saluran YouTube itu,” katanya.

Saluran YouTube milik Alyssa Dezek merupakan salah satu daripada 10 saluran YouTube Malaysia yang paling banyak pengikut. Beliau juga merupakan selebriti pertama yang menduduki carta paling tinggi dilanggan di YouTube Malaysia berbanding selebriti solo lain.

Tangkap layar dari Social Blade

Biodata Alyssa Dezek

Nama sebenar: Aryanna Alyssa Dezek
Nama pentas: Alyssa Dezek
Umur: 12 tahun (pada 2020)
Asal: Kuala Lumpur

Alyssa Dezek merupakan anak sulung daripada dua orang adik-beradik. Beliau bersekolah di di Sekolah Kebangsaan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.

Alyssa mula menempa nama dalam dunia hiburan tempatan selepas menyertai program Ceria All Star di Astro Ceria ketika masih berumur tujuh tahun. Antara lain, beliau turut tersenarai sebagai salah seorang peserta program Ceria Mega Star pada 2018.

Antara lagu dipopularkannya termasuk single Lagu Untuk Kamu yang diterbitkan pada November 2019, selain Ma Dan Pa, Bintang dan Duniaku.

Selain aktif dalam dunia menyanyi, Alyssa juga aktif berlakon. Antara drama yang dibintanginya adalah Kasut Bola Pink, Patahnya Sebelah Sayap, Anak Anak Ibu, Jangan Sembelih Merah, Lambor Kanan Belakang Dewan, Ghahim Takut Nak Azan, Mimpi Sumi, Bebel dan banyak lagi.

Saluran YouTube yang dimulakan oleh ibunya, Suzanne Sahri pada 2012 kini berjaya mengumpul 3.04 juta pengikut (setakat Julai 2020).

Pada mulanya, Suzanne membuka akaun YouTube Alyssa untuk sekadar mahu menyimpan kenangan dan berkongsi bakat anaknya. Beliau tak menyangka bakat anaknya begitu disukai orang Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina.

Lagu terbarunya, Lagu Untuk Kamu yang dicipta oleh komposer Indonesia, sehingga kini telah mencatatkan lebih 59 juta tontonan di Youtube, selain menjadi video sohor kini di Indonesia.

Beliau juga berkebolehan bermain instrumen muzik ukulele, gitar dan biola. Minatnya terhadap ukulele mula bercambah selepas melihat alatan muzik itu dijual di sebuah pasar raya. Beliau kemudian mengembangkan kemahiran itu dengan menyertai kelas muzik.

Antara lagu covernya yang menjadi tular, seperti lagu Kun Anta nyanyian asal Humood Alkhudher, Merindukanmu (Dash Uciha), Tak Tun Tuang (Upiak Isil) dan Despacito (Luis Fonsi ft. Daddy Yankee).

Baca juga artikel lain yang berkaitan: