Sekiranya anda belum membaca bahagian 1. Boleh klik artikel di bawah.
Lantikan Eric Ten Hag Dan Rombakan Menyeluruh Man Utd (Bahagian I)
Penamatan kontrak Ole Gunnar Solskjaer di pertengahan musim 2021-22 membawa kepada pencarian pengurus baru. Sekali lagi, Manchester United diambang huru-hara pasca kepimpinan Sir Alex Ferguson. Michael Carrick, pembantu kepada Ole diminta mengemudi pasukan buat sementara waktu.
Pada 20 November 2021, seorang pengurus berbangsa Jerman, Ralf Rangnick diambil sebagai pengurus sementara. Hampir empat dekad mengemudi 14 buah pasukan, beliau dianggap mampu untuk menguruskan ego besar pemain-pemain Manchester United.
Sementara itu, pengurusan tertinggi United melihat keperluan kepada pelantikan pengurus bagi jangka panjang. Dua orang calon yang paling hampir dengan pelantikan ini ialah Mauricio Pochettino dan juga Eric ten Hag.
Hanya seminggu yang lalu, ten Hag diumumkan sebagai pengurus Manchester United yang seterusnya. Kontrak selama tiga tahun dimetrai bermula pada tanggal 1 Julai 2022 hingga Jun 2025.
Rombakan penuh Manchester United
Empat orang pengurus sepenuh masa dan tiga orang pengurus interim sejak 2013. Ini bermaksud, pemain terpaksa menyesuaikan diri dengan tujuh pengurus berbeza dalam tempoh sembilan tahun. Pengurus pula terpaksa mewarisi pemain yang tidak sesuai dengan corak dan cara permainan mereka sepanjang mengemudi pasukan.
Ini ditambah pula dengan pemain-pemain senior yang mengalami kecederaan panjang dan masih dikekalkan. Phil Jones sebagai contoh, masih mempunyai kontrak panjang sehingga musim 2023-24 dengan gaji mingguan £75,000.
Paul Pogba, Jesse Lingard, Edinson Cavani, Juan Mata dan Lee Grant masing-masing hanya mempunyai kontrak sehingga hujung musim ini. United mampu menjimatkan £805,000 seminggu dengan penamatan kontrak pemain-pemain ini.
Ten Hag merupakan pengurus yang meminati taktikal penguasaan bola, dekat dengan cara pengurusan Pep Guardiola. Beliau gemarkan pasukannya untuk melakukan pressing dari hadapan seperti permainan Bayern Munich.
Namun begitu, taktikal beliau juga mampu berubah dengan fleksibel. Ini dapat dilihat dengan penggunaan Dusan Tadic sebagai false nine di hadapan. Taktikal tersebut berubah sepenuhnya dengan kemasukan Sebastian Haller, seorang penyerang yang lebih konvensional.
Mengakui bahawa beliau banyak belajar daripada Pep Guardiola semasa di Bayern. Idea menyerang dan filosofi tersebut cuba diterapkannya semasa bersama Ajax Amsterdam.
Formasi dan cara pengurusan ten Hag
Erik ten Hag biasanya menggunakan formasi 4-2-3-1 ataupun 4-3-3. Formasi ini lebih menekankan peranan pemain sayap sebagai punca utama berlakunya serangan.
Namun begitu, tanpa Mason Greenwood yang masih digantung akibat tuduhan jenayah, United tempang di posisi tersebut. Hanya Jadon Sancho dilihat sebagai pemain sayap sebenar yang mampu membawa misi sukar ten Hag. Namun jika melihat kepada peranan yang dimainkan Sancho sehingga kini, ia adalah mustahil.
Seorang pemain tengah juga memainkan tugas menyerang dengan membantu pemain sayap. Ketika di Ajax, Donny van de Beek memegang peranan tersebut. Manakala dua pemain tengah lagi lebih banyak bertahan. Ini merupakan posisi yang tidak pernah diisi dengan baik oleh mana-mana pengurus Manchester United.
Pengurusan ten Hag juga dianggap terlalu baik dengan pemainnya. Ini diakui sendiri oleh Pep Guardiola yang pernah bekerja dengannya. Namun, bagi menguruskan ego besar pemain Manchester United, keadaan tersebut perlu diubah.
Maka, satu lagi evolusi Manchester United bakal disaksikan pasca Sir Alex Ferguson. Persoalannya, adakah ten Hag mampu membawa khabar indah kepada penyokong The Red Devils ataupun satu lagi mimpi ngeri untuk mereka.