Berkelah dan bermandi-manda di sungai pada hujung minggu merupakan aktiviti yang biasa dilakukan bersama keluarga. Pilihan utama semestinya kawasan yang berdekatan dengan air terjun. Kesejukan airnya yang jernih, serta kawasan berkelah yang redup di bawah pokok menjadikan ianya sebagai pilihan yang mudah.
Namun begitu, kerapkali kita mendengar tentang kejadian lemas akibat fenomena kepala air. Lebih-lebih lagi sewaktu musim Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat di negeri-negeri Pantai Timur.
Saban tahun setiap kali ketika cuti umum atau cuti penggal persekolahan dan musim tengkujuh, kita sering dikejutkan dengan berita yang menyayat hati. Kejadian lemas di sungai, kolam, tasik, lombong dan dihanyutkan arus kepala air kerap kali dilaporkan di media massa.
Ini latar belakang disebalik fenomena kepala air dan cara untuk mengelakkan diri anda daripada bahayanya.
Maksud fenomena kepala air
Kepala air atau sumber sungai bermaksud gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya, ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku secara tiba-tiba di kawasan hulu sungai.
Aliran air yang terkumpul sewaktu hujan ini sangat besar dan deras. Untuk turun ke kuala dan hilir sungai, ia membawa bersama segala kelodak, batu dan kayu balak. Selain itu, kepala air ini juga akan merempuh apa sahaja halangan di hadapannya.
Dengan kelajuan aliran air, ditambah pula dengan halangan yang dibawa bersama, fenomena ini sangat-sangat berbahaya. Kerana ia datang secara mengejut, biasanya mangsa tidak sempat bersedia untuk keluar dari sungai.
Langkah pencegahan awal kepada pengunjung
Antara langkah pencegahan yang penting adalah untuk ketahui lokasi kejadian kepala air kerap berlaku. Sebagai contoh, di negeri Kedah terdapat beberapa lokasi yang kerap kali mengalami fenomena ini seperti:
- Sungai Ketil di Baling;
- Sungai Empangan Pedu di Kuala Nerang;
- Titi Hayun dan Air Terjun Batu Hampar di Yan;
- Air Terjun Junjung di Kulim;
- Pusat Rekreasi Tupah di Merbok;
- Air Terjun Temurun;
- Jalan Datai di Langkawi dan
- Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi.
Maka, sebelum anda ke lokasi yang pernah merekodkan kejadian ini, periksa dahulu ramalan kaji cuaca dan bertindak sebaiknya. Ketersediaan pengunjung sebelum berlakunya fenomena ini mampu menyelamatkan nyawa.
Ketahui langkah keselamatan dari kepala air
Antara langkah keselamatan yang biasanya disarankan pula adalah dengan mengambil berat tentang tanda-tanda kejadian kepala air. Tanda berlaku fenomena kepala air ini ialah cuaca gelap di hulu sungai (puncak bukit) yang menandakan hujan di kawasan berkenaan. Air yang meningkat naik secara tiba-tiba, air berubah warna kepada kekuning-kuningan secara tiba-tiba dan air sungai berbuih dengan jumlah yang banyak di permukaan.
Paras air boleh naik sehingga dua meter dalam tempoh lima hingga sepuluh minit sahaja. Peningkatan paras air juga membawa bersama kelodak, daun reput atau ranting kayu muncul dengan banyak di permukaan air. Kadangkala, bunyi dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai juga jelas kedengaran.
Segera tinggalkan kawasan tersebut sekiranya terlihat tanda-tanda ini.