Bagi merancang percutian, kebiasaannya kita akan merujuk kalendar dinding bersaiz segi empat sama. Kalendar berwarna putih ini biasanya diberikan secara percuma pada hujung tahun oleh perniagaan sebagai iklan selain oleh ahli politik.
Kalendar jenis ini juga lengkap dengan empat jenis sistem kalendar iaitu tahun Gregorian atau Masihi, Hijrah, Lunar Cina & India. Namun, kita selalunya menggelarkan kalendar ini sebagai kalendar kuda. Puncanya, pada kalendar ini juga tercatat tarikh perlawanan lumba kuda di beberapa buah bandar utama di Malaysia.
Ini sejarah perlawanan lumba kuda dan kaitannya dengan kalendar lagenda yang sangat popular di Malaysia.
Asal usul kuda di Tanah Melayu
Menerusi kajian oleh Dr Azharudin Dali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), sehingga hari ini belum ada satu kajian yang jelas tentang asal usul kewujudan kuda di Tanah Melayu. Namun, dek kerana dekatnya kita dengan Pulau Jawa dan Pulau Sumatera, penghijrahan penduduk tanpa sebarang sekatan sempadan negara mungkin membawa sekali kuda sebagai haiwan tunggangan dan kenderaan bagi pengangkutan.
Ini kerana, kuda sudahpun digunakan di Pulau Jawa sejak abad ke-7 Masihi lagi. Ia dibawa dari beberapa buah negara seperti China, India dan Burma. Kuda jenis ini juga ada di Pulau Sumatera dan berkemungkinan besar kuda-kuda itulah yang dibawa masuk ke Tanah Melayu.
Kuda menjadi popular dalam kalangan bangsawan sebagai haiwan tunggangan bagi perjalanan jarak dekat dan sederhana. Selain itu juga, kuda digunakan bagi menarik gerabak kereta.
Lumba kuda di Tanah Melayu
Kuda juga merupakan haiwan yang sangat dekat dengan penjajah British. Pasti kita maklum bagaimana Ratu Elizabeth merupakan peminat kuda dan juga aktif dengan sukan lumba kuda. Secara tidak langsung, ia merebak ke tanah jajahan baginda seperti Tanah Melayu.
Penjajah British kemudiannya membawa bersama sukan lumba kuda, lantas menjadi antara aktiviti paling popular di kalangan masyarakat ketika itu. Ia juga membawa bersama perjudian di sebalik lumba kuda terbabit. Secara ringkasnya, penonton yang hadir akan bertaruh wang ringgit bagi kuda yang bakal memenangi perlumbaan tersebut.
Lumba kuda pertama diadakan di Tanah Melayu adalah pada Februari 1843 di Singapura, iaitu dengan tertubuhnya Singapore Turf Club setahun sebelum itu. Ia kemudiannya berkembang di bandar-bandar utama lain seperti di Pulau Pinang pada tahun 1864, Ipoh pada tahun 1895 dan Kuala Lumpur.
Aktiviti ini menjadi sangat popular sehingga bank terpaksa ditutup pada hari perlumbaan. Ini kerana, pegawai bank terpaksa dikerahkan ke kelab lumba kuda untuk menguruskan wang pertaruhan.
Kelahiran kalendar kuda
Tanpa sebarang teknologi bagi hebahan tarikh dan tempat perlumbaan, kelab lumba kuda terpaksa mencari jalan agar hari perlumbaan ini diketahui umum. Maka, jadual perlumbaan dicetak bersama-sama dengan kalendar. Antara maklumat penting yang tercatat adalah lokasi dan tarikh perlumbaan tersebut.
Mengikut sejarahnya, lumba kuda hanya terhenti untuk beberapa tahun sahaja akibat penjajahan Jepun. Pentadbiran British Malaya Administration (BMA) kemudiannya menyambung kembali lumba kuda dan ia kekal sehingga hari ini. Dek kerana populariti lumba kuda di Tanah Melayu, sistem kalendar ini kekal digunakan dan mendapat namanya.
Pada hari ini juga, ia mudah diakses dengan carian Google dan diabadikan dalam bentuk imej bagi memudahkan carian pengguna.