Pada jam 11.59 malam, 8 Julai 2021 yang lalu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengeluarkan laporan yang paling dinanti-nantikan semua. Seramai 3,190,789 orang atau 10 peratus penduduk di negara ini sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19. Ini merupakan langkah penting yang menandakan bahawa Malaysia telah memenuhi nilai ambang pertama untuk peralihan daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua bagi Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Apabila sasaran tersebut dicapai, timbul persoalan tentang garis panduan baharu yang boleh dilonggarkan kepada penerima vaksin yang telah lengkap menerima dua dos suntikan. Tambahan pula, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa penerima dua dos vaksin bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu.

Contoh yang digunakan oleh CDC Amerika Syarikat

Kredit gambar: https://www.youtube.com/watch?v=xcfpUdHw3gw&ab_channel=UCDavisHealth

Antara langkah yang sedang dipertimbangkan oleh JKJAV yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin adalah melihat kepada apa yang dilakukan oleh negara terawal seperti Amerika Syarikat. ‘Best practise’ dalam pengurusan Covid-19 termasuk faedah yang diterima oleh penerima vaksin terawal di negara tersebut.

Awal Mac lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengeluarkan garis panduan kelonggaran kepada penerima vaksin penuh di negara terbabit seperti kebenaran berkumpul di dalam bangunan tanpa perlu memakai pelitup muka. Badan itu juga membenarkan mereka yang divaksin penuh boleh mengunjungi orang yang belum mendapat vaksin tanpa perlu memakai pelitup muka atau menjaga jarak fizikal selagi mereka yang belum divaksin tidak berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Selain itu juga, CDC turut memberikan kebenaran kepada penerima vaksin penuh yang menemui kontak rapat atau penghidap Covid-19 tidak perlu menjalani ujian swab atau kuarantin kecuali jika mereka menunjukkan gejala virus. Kini, hampir 48.2 peratus rakyat Amerika Syarikat telahpun menerima vaksin penuh.

Cadangan JKJAV akan dibentang kepada MKN

Kredit gambar: https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/06/20/govt-looking-into-easing-restrictions-for-fully-vaccinated-individuals-says-khairy

Minggu lalu, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan dijangka mengeluarkan garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 pada bulan hadapan bagi memberi lebih kelonggaran kepada golongan berkenaan. Kedua-dua beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sudah diberi taklimat oleh pakar kesihatan awam negara dalam pengendalian serta faedah vaksin ketika mesyuarat JKJAV.

JKJAV sedang menyediakan garis panduan tersebut yang akan dibentangkan di peringkat jawatankuasa berkenaan sebelum dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN). Selepas diluluskan oleh MKN, JKJAV dijangka akan mengeluarkan garis panduan mengenai apa yang anda boleh lakukan setelah selesai menerima sepenuhnya dua dos vaksin.

Pada bulan lalu, syor kepada kelonggaran bagi penerima dos lengkap vaksin dilapor sedang dikaji sebuah jawatankuasa kerja teknikal di bawah JKJAV, yang dianggotai pakar kesihatan dan sains.

Antara cadangan kelonggaran yang dibincangkan oleh jawatankuasa berkenaan termasuklah kebebasan merentas negeri serta menanggalkan pelitup muka sekiranya bertemu dengan penerima vaksin lengkap yang lain. Sijil digital vaksinasi atau pasport vaksin dalam aplikasi MySejahtera akan digunakan oleh penerima dos lengkap untuk membolehkan mereka menikmati kebebasan tertentu itu.