Model perniagaan yang paling berjaya adalah membabitkan perkhidmatan yang mampu memberi penyelesaian masalah kepada orang ramai. OYO Hotels & Homes dilihat benar-benar berjaya menyelesaikan masalah kekurangan pelanggan di hotel bajet.
Idea asalnya bagi menyelesaikan masalah pelancong dan pengembara yang juga memerlukan bilik yang bersih dan selesa. Segmen pelanggan seperti ini kerap kali tidak dipedulikan oleh aggregator hotel yang lain.
Pada hari ini, OYO Hotels & Homes beroperasi di lebih 43,000 buah hotel dengan lebih satu juta bilik. Ini kisah bagaimana OYO bermula dan berkembang sehingga hari ini.
Bermula sebagai Oravel Stays
Rangkaian jenama OYO merupakan cetusan idea seorang pemuda bernama Ratesh Agraval. Beliau memulakan idea OYO sebagai Oravel Stays pada tahun 2011.
Perbezaannya berbanding aggregator hotel yang lain adalah OYO fokus pada bilik bajet dengan standard yang telah ditetapkan. Pada awalnya, modul perniagaan OYO memfokuskan kepada baki bilik yang tidak terjual. Bilik-bilik ini akan disewa pada harga yang rendah dari pemilik hotel dan dinaiktaraf.
OYO bermula dengan menukar cadar yang lebih berkualiti tinggi, tilam yang selesa, set televisyen dan pemanas air. Perubahan kecil ini berjaya menyebabkan kadar penghunian hotel meningkat dari 18 peratus kepada 90 peratus hanya pada bulan pertama.
Dari Oravel Stays kepada OYO
Pada tahun 2013, beliau merupakan satu-satunya warga India yang telah terpilih dalam program Peter Thiel Fellowship. Program berprestij ini dicipta oleh pengasas PayPal, Peter Thiel. Ia merupakan program khusus bagi pengasas perniagaan yang berpotensi dan berumur di bawah 23 tahun.
Di bawah program ini, peserta akan diberikan dana sebanyak USD100,000 dan menerima bimbingan perniagaan selama dua tahun. Program eksklusif ini hanya menerima 20 orang sahaja untuk dibantu setiap tahun.
Setelah Ritesh Agarwal tamat daripada program rogram Peter Thiel Fellowship, Oravel Stays telah dijenamakan kepada OYO. Ini bagi membezakan model perniagaannya daripada Airbnb. OYO kemudiannya memfokuskan jenama mereka sebagai sebuah direktori untuk hotel bajet dan bilik bajet di India.
Kejayaan perniagaan gaya OYO
OYO bermaksud ‘On Your Own’ namun syarikat tersebut hanya menggunakan OYO sebagai akronim. Sepanjang sepuluh bulan pertama operasinya, OYO telah bertapak di lebih 171 bandar dengan 87,000 bilik.
Model perniagaan OYO kemudiannya diubah daripada konsep sewaan bilik kepada konsep francais. Dengan kekuatan pada jenama OYO, kini mereka tidak perlu menyewa bilik lagi. Sebaliknya, OYO meminta pemilik hotel untuk bekerjasama dalam mempromosikan bilik hotel. Sebanyak 22 peratus komisyen menjadi milik OYO atas perkhidmatan tersebut.
Kini, OYO telah berkembang dengan pesat ke seluruh dunia. OYO kini wujud di 800 buah bandar di 80 buah bandar. Antara pelabur terbesar syarikat ini adalah SoftBank Group Corp, Sequoia Capital, Lightspeed Ventures, Hero Enterprise, dan China Lodging Group.
Pada hari ini, OYO Hotels & Homes beroperasi di lebih 43,000 buah hotel dengan lebih satu juta bilik.
Selepas ditimpa pandemik Covid-19, OYO dijangka akan meneruskan idea bagi membuka IPO untuk syarikat ini. Jenama OYO Hotel & Homes pada tahun ini dianggarkan bernilai USD12 bilion. Melalui IPO tersebut, OYO bakal menambah dana yang dimilikinya untuk melangkah lebih jauh.