Setiap bulan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mengeluarkan laporan tentang Indeks Harga Pengguna (IHP) di media massa. Sebagai contoh pada bulan ini, kita mendapati IHP yang mengukur inflasi utama meningkat 4.4 peratus pada Mei 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Berikut merupakan sedikit penerangan ringkas tentang indeks ini dan kesannya kepada kita sebagai pengguna.

Apakah itu Indeks Harga Pengguna?

Kredit gambar: https://www.ceicdata.com/en/malaysia/consumer-price-index-2010100/consumer-price-index-cpi-

Indeks Harga Pengguna, IHP atau dipanggil Consumer Price Index (CPI) adalah indeks yang digunakan untuk mengukur purata harga bakul barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh isi rumah dalam satu tempoh yang telah ditetapkan. IHP di Malaysia mula diterbitkan bermula dari Februari 1987 dengan menggunakan tahun asas 1980 sebagai 100.

Indeks ini mengukur perubahan secara peratus kos pembelian mengikut masa bagi bakul tetap barangan dan perkhidmatan yang mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk dalam satu tempoh masa yang ditetapkan. IHP dikira berdasarkan standard dan prosedur yang diterima pakai di seluruh dunia dengan menggunakan formula kiraan Laspeyres.

Maksud bakul barangan dan perkhidmatan

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/634150/barang-keperluan-cukup-tiada-pembelian-panik

Untuk memudahkan pemahaman, indeks ini bukan mengukur kesemua harga barangan dan perkhidmatan yang terdapat di sesebuah negara. Terdapat senarai bakul barangan dan perkhidmatan berpandukan kepada Classification of Household Goods and Services (CHGS) yang terdiri daripada beberapa pengkelasan utama.

Sebelum tahun 2006, senarai ini terdiri daripada sembilan kelas utama:

  1. Makanan
  2. Minuman dan Tembakau
  3. Pakaian dan Kasut
  4. Sewa Kasar, Bahan Api dan Kuasa
  5. Perabot, Hiasan Dalaman, Peralatan dan Pengendalian Rumah
  6. Perbelanjaan Rawatan Perubatan dan Kesihatan
  7. Pengangkutan dan Perhubungan
  8. Perkhidmatan Rekreasi, Hiburan, Pelajaran dan Kebudayaan
  9. Pelbagai Barang dan Perkhidmatan

Bermula dari bulan Januari 2006, item yang diukur di dalam IHP adalah berpandukan kepada Classification of Individual Consumption According to Purpose (COICOP) dengan dua belas kumpulan utama seperti berikut:

  1. Makanan dan Minuman Bukan Beralkohol
  2. Minuman Beralkohol dan Tembakau
  3. Pakaian dan Kasut
  4. Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain
  5. Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah
  6. Kesihatan
  7. Pengangkutan
  8. Komunikasi
  9. Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan
  10. Pendidikan
  11. Restoran dan Hotel
  12. Pelbagai Barang dan Perkhidmatan

12 klasifikasi ini yang menetapkan barangan dan perkhidmatan tertentu sahaja diambil kira untuk mendapatkan nilai IHP dan perbandingannya dengan nilai pada tahun sebelumnya. Pergerakan harga barangan inilah yang diambil kira sebagai bakul barangan dan perkidmatan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Kesan pergerakan nilai IHP kepada pengguna

Kredit gambar: https://www.projekmm.com/news/berita/2019/03/28/bnm-trend-gaji-permulaan-siswazah-menurun-sejak-2010/1737295

Indeks Harga Pengguna (IHP) diperlukan sebagai kayu ukur bagi kerajaan untuk menganggarkan kos sara hidup semasa, menilai prestasi ekonomi dan membentuk dasar fiskal dan dasar kewangan negara. Bantuan kewangan yang diberikan sebagai contoh adalah merujuk kepada beberapa indikator dan IHP merupakan salah satu daripadanya.

Sekiranya anda melihat dari sektor kerajaan, kenaikan nilai peratusan IHP adalah memberangsangkan kerana rakyat dilihat berbelanja dan terus menyumbang kepada aliran ekonomi sesebuah negara. Kumpulan perniagaan pula akan mendapat laba daripada ‘nilai positif’ ini dengan peningkatan keuntungan dan seterusnya membayar cukai kepada kerajaan.

Namun begitu, dari sudut pandangan rakyat pula peningkatan ini sebenarnya menambahkan lagi beban kepada mereka kerana rakyat perlu berbelanja lebih untuk mengekalkan gaya hidup mereka. Ini ditambah dengan kadar pengangguran yang tinggi dan gaji permulaan yang merosot kepada pencari kerja.

Menurut laporan Bank Negara, gaji permulaan graduan telah merosot berbanding beberapa tahun lalu selepas ditolak dengan impak inflasi. Sebagai contoh, gaji graduan diploma turun dari RM1,458 pada tahun 2010 kepada RM1,376 pada tahun 2018. Bagi siswazah sarjana pula gaji bulanan dicatat RM2,923 pada 2010. Namun penurunannya ketara apabila lepasan ijazah itu mendapat RM2,707 pada 2018 iaitu penurunan sebanyak RM216.

Maka ini memberikan kesan negatif kepada graduan tersebut apabila IHP meningkat saban tahun berbanding pendapatan yang diterima mereka.