Timbalan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat (YB) Mohd Shahar Abdullah mahu peminjam individu yang ingin melanjutkan kemudahan moratorium supaya segera berurusan dengan pihak bank bermula Jumaat ini [7 Ogos 2020].
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan terutamanya buat golongan yang masih terjejas berikutan serangan wabak COVID-19.
Mohd Shahar yang merupakan Ahli Parlimen Paya Besar melihat langkah pantas perlu diambil para peminjam kerana lanjutan moratorium ini tidak lagi diimplementasikan secara automatik seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.
Sehubungan dengan itu, peminjam yang mahu moratorium mereka dilanjutkan perlulah berhubung dengan institusi kewangan masing-masing untuk membuat permohonan.
“Permohonan lanjutan moratorium itu harus dilakukan segera oleh peminjam kerana ia bukan lagi automatik seperti dahulu.”
“Kita juga tidak mahu mereka (peminjam) buat permohonan di saat-saat akhir. Jika datang pada hujung September, kita risau dari segi kemampuan bank-bank untuk mengurus permohonan mereka,” ujar Mohd Shahar menurut laporan dikeluarkan Bernama.
“Proses permohonan ini memakan masa. Jika mereka lewat (membuat permohonan) maka Oktober nanti mereka perlu mula membayar.”
“Ini pastinya memberi kesan terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, belum mendapat kerja atau mengalami pengurangan pendapatan,” tambah Mohd Shahar lagi.
Lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Perutusan Khas pada 29 Julai itu membabitkan dua golongan sasaran.
Mereka ialah individu yang kehilangan kerja dan juga buat individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas [berkurangan] berpunca daripada wabak COVID-19 ini.
Kredit foto: FB Shahar Abdullah