58 tahun yang lalu, Bayern Munich sebenarnya tidak dijemput bagi menyertai kejohanan Bundesliga. Ketika sepak mula Bundesliga yang pertama dimainkan pada 24 Ogos 1963, Bayern Munich masih lagi sebahagian daripada Oberligen.

Bermaksud liga bola sepak perdana Jerman, terdapat lima Oberligen pada waktu itu mengikut lokasi kelab-kelab terbabit. Struktur negara Jerman selepas Perang Dunia Kedua amat mempengaruhi perpecahan liga bola sepak ini.

Kejohanan Bundesliga yang pertama dimenangi oleh pasukan pilihan ketika itu, FC Koln. Kelab tersebut meninggalkan pesaingnya Meidericher SV dan Eintracht Frankfurt.

Namun begitu, Bayern Munich menjadi pasukan yang terulung di Bundesliga selepas menyertainya. Sehingga musim ini, tulang belakang pasukan kebangsaan Jerman ini telah memenangi kejohanan tersebut sebanyak 32 musim.

Latar belakang Bayern Munich 

Kredit gambar: Transfer Markt

Kelab dari Bavaria ini ditubuhkan pada tahun 1900. Ia bermula apabila 11 orang pemain, diketuai oleh Franz John memulakan usaha bagi menubuhkan kelab bola sepak. Mereka berasal daripada kelab gimnastik bernama MTV 1879. Apabila kelab MTV 1879 tersebut tidak membenarkan 11 pemain ini menyertai DFB, mereka meninggalkan kelab tersebut.

Tahun keemasan Bayern Munich bermula pada tahun 1965 dengan kemenangan DFB-Pokal dan European Cup Winners’ Cup. Pada tahun 1967, Bayern kembali merampas kejuaraan DFB-Pokal.

Peyertaan Branko Zebec sebagai jurulatih menambah tonik buat Bayern Munich. Mereka memenangi Bundesliga dan DFB-Pokal pada tahun 1969. Lebih menarik lagi, Branko Zebec hanya memiliki 13 orang pemain sepanjang musim tersebut.

Antara pemain handalan pasukan Bayern Munich sepanjang zaman termasuklah Gerd Muller. Penyerang handalan ini mewakili Bayern dari 1964 hingga 1979. Sehingga kini, beliau merupakan pemegang rekod jaringan Bundesliga dengan 365 gol.

Dominasi berterusan Bayern Munich 

Kredit gambar: Goal

Mengikut sejarah, Bayern Munich merupakan juara Jerman yang pertama pada tahun 1932. Namun begitu, ia tidak dijemput bagi kejohanan ulung Bundesliga atas rekod permainannya di dalam Oberligen.

Hanya pada tahun berikutnya, Bayern dijemput sama untuk menyertai Bundesliga. Pada hari ini, kelab ulung Jerman ini dianggap kuasa yang sangat dominan di dalam sukan bola sepak dunia. Mana tidaknya, 32 musim diungguli oleh Bayern dengan kemenangan musim ini merupakan kemenangan ke-10 berturut-turut.

Kejayaan ke-10 ini dianggap sebagai sesuatu yang mustahil untuk diulangi oleh kelab-kelab di liga terbesar Eropah. Paling dekat ialah kemenangan Juventus sebanyak sembilan kali berturut-turut di Seria A.

Ia merupakan rekod cemerlang oleh Bayern Munich, memandangkan pasukan mereka pada awalnya dianggap tidak layak untuk menyertai Bundesliga.