Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengumumkan pengurangan jumlah operasi pelantar minyak daripada 18 kepada empat sahaja. Ia berikutan penurunan harga minyak sejak hujung tahun lepas.

Petronas memberitahu mereka terpaksa menutup dan memperlahankan operasi 14 projek cari gali mereka untuk mengurangkan kos operasi. Hanya apabila harga minyak dunia naik semula, barulah mereka akan membuka semula operasi semua projek cari gali.

Dengan mengurangkan kos operasi, sesebuah pelantar minyak masih tetap akan beroperasi. Tetapi hanya pada kadar minimum.

Menurut Petronas, untuk memastikan semua pelantar minyak dapat beroperasi tanpa kerugian, harga setong minyak perlu mencapai sekurang-kurangnya USD70 (RM305.16). Ketika ini harga minyak mentah Brent dunia hanyalah USD21.80 (RM95.04).

Tindakan Petronas ini bukanlah satu tindakan yang asing terutamanya dalam keadaan harga pasaran minyak dunia yang lesu ketika ini. Ia turut dibuat oleh syarikat-syarikat minyak dan gas yang lain.

Besar kemungkinan harga minyak yang rendah ketika ini akan melambatkan lagi pelancaran projek cari gali baru Petronas di Limbayong (Malaysia), Abadi (Indonesia), Shew Yee Htun (Myanmar) dan Kelidang (Brunei).

Ketika ini harga minyak mentah dunia sedang berada pada tahap terendah sejak tahun 2001. Ia disebabkan oleh permintaan minyak dunia yang rendah dan lambakan bekalan akibat wabak COVID-19.

Titik rendah industri minyak dan gas berlaku di Amerika Syarikat beberapa hari lepas apabila harga minyak mentah WTI jatuh ke paras negatif.

Sejarah kejatuhan harga minyak mentah

Sebenarnya kejatuhan harga minyak telah bermula sejak tahun 2014 lagi apabila Amerika mempergiatkan pengeluaran hingga menyebabkan lambakan stok minyak mentah dalam pasaran.

Bagi mengatasi masalah itu, Kesatuan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia bekerjasama untuk mengurangkan pengeluaran bagi mengawal harga crude.

Pada 2016, harga mula stabil tetapi tidak betul-betul kukuh kerana masih ada lambakan minyak mentah dalam pasaran.

Ia menyebabkan sekali lagi lambakan minyak mentah dalam pasaran. Kemudian negara-negara Eropah juga mula melakukan lockdown yang menyebabkan pemintaan terhadap crude menurun dengan begitu signifikan.

Sekali lagi OPEC mengajak Russia berbincang untuk mengawal harga crude dengan mengurangkan pengeluaran. Tetapi kali ini Russia menolak dengan alasan terlalu awal untuk mengambil tindakan sebegitu.

Kebimbangan Russia berasas kerana mereka tidak mahu – selepas pengeluaran dikurangkan – harga mulai stabil tetapi kemudian jatuh semula kerana pemintaan semakin berkurangan akibat koronavirus. Russia mahu bertahan untuk tiga bulan lagi untuk melihat impak menyeluruh koronavirus terhadap pasaran.

(Kemaskini 26 April 2020): Petronas menafikan laporan bahawa 14 operasi pelantar minyaknya di Malaysia ditutup. Petronas menjelaskan hanya beberapa projek pelantar sahaja yang operasiny digantung sementara susulan penguatkuasaan PKP. Namun selepas mendapat kelulusan kerajaan, operasi pelantar ini dibuka semula. Kini Petronas mempunyai 18 pelantar minyak yang beroperasi di Malaysia.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan dengan kejatuhan harga minyak dunia:

Sumber: