Kerajaan Singapura mengumumkan bantuan wang tunai sebanyak SGD9,000 (RM26,909) kepada semua warganegaranya yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi untuk membantu mereka menghadapi impak wabak COVID-19.
Bantuan tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menterinya, Heng Swee Keat dalam pembentangan belanjawan tambahan di Parlimen semalam.
Kerajaan Singapura memperuntukkan SGD1.2 bilion (RM3.6 bilion) kepada Skim Bantuan Orang Bekerja Sendiri yang akan memberi wang tunai sebanyak SGD1,000 (RM2,990) sebulan.
Antara pekerjaan yang layak di bawah Skim Bantuan Orang Bekerja Sendiri di Singapura ini adalah pemandu teksi, pekerja kontrak, jurulatih sukan dan peniaga kecil.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan Singapura juga mewajibkan semua rakyatnya yang bekerja sendiri untuk menjalani latihan skil berbayar di bawah Skim Sokongan Latihan Orang Bekerja Sendiri.
Di bawah skim ini, rakyat Singapura yang bekerja sendiri akan menerima elaun latihan sebanyak SDG10 (RM30) sejam selama tiga bulan.
Malaysia beri RM600 secara one-off
Sementara itu kerajaan Malaysia pula mengumumkan bantuan sebanyak RM600 secara sekaligus (one-off) kepada pemandu teksi, bas, beca dan pemandu pelancong yang berdaftar.
Selain itu, kerajaan juga mengumumkan bantuan berikut kepada rakyat yang bekerja sendiri:
1. Bayaran BSH sebanyak RM200 yang dicepatkan dari Mei 2020 ke Mac 2020. Tambahan RM100 akan dibayar ke penerima BSH 2020 pada Mei 2020. RM50 lagi akan diberikan dalam bentuk e-tunai.
2. Geran RM1,000 untuk 10,000 usahawan tempatan untuk mempromosi produk/servis di platform e-dagang.
3. Pemberian moratorium selama enam bulan untuk semua jenis pinjaman individu dan syarikat.
4. Peruntukan subsidi RM50 juta untuk kursus pendek skil digital dan skil tinggi.
5. Perniagaan dalam bidang pelancongan dibenarkan untuk menangguhkan pembayaran ansuran bulanan cukai pendapatan dari April 2020 ke Spetember 2020.
6. Kebenaran mengubah anggaran keuntungan untuk tahun 2020 tanpa penalti dari LHDN.
7. Diskaun 15% bil elektrik untuk hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli-belah serta pusat konvensyen.
8. Pengecualian levi HRDF kepada hotel dan syarikat berkaitan dalam industri pelancongan.
9. Pengecualian cukai 6% kepada hotel bermula Mac hingga Ogos 2020.
10. Bank Negara Malaysia akan memberi kemudahan pinjaman istimewa sebanyak RM2 bilion dalam bentuk modal pada kadar bunga 3.75% kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
11. Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memberi kemudahan mikro-kredit dengan kadar bunga 4%.
12. Kebenaran pengeluaran maksimum RM500 sebulan dari Akaun 2 KWSP untuk ahli berumur 55 tahun dan ke bawah bermula 1 April.
13. Kebenaran caruman minimum KWSP dari 11% kepada 7% sehingga 31 Disember 2020.