Singapura menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menutup sempadannya kepada semua pelawat dari China – bukan dari wilayah Hubei sahaja – selepas melaporkan 3 lagi kes baru Coronavirus (2019-nCov) semalam. Penutupan sempadan itu turut tertakluk kepada warga asing yang pernah melawat China dalam masa 14 hari lepas.
Dengan 3 kes baru ini, Singapura sudah mencatat 16 kes positif 2019-nCov. Satu daripadanya dihidapi oleh rakyat Singapura sendiri. Manakala selebihnya dihidapi oleh rakyat China yang sudah dikuarantin.
China merupakan salah satu rakan dagang terbesar Singapura, yang juga merupakan destinasi pelancongan popular rakyat China. Data dari Lembaga Pelancongan Singapura mendedahkan sebanyak 248,000 pelancong China melawat Singapura pada bulan Novermber 2019 lepas. Pada 2018, sejumlah 3.42 juta warga China melancong ke Singapura.
Penggantungan visa untuk semua pelawat dari China ini akan dilakukan dalam masa terdekat supaya pengumuman dapat dibuat terlebih dahulu. Penutupan sempadan pula akan berkuat-kuasa pada 11.59 malam Sabtu. Kerajaan Singapura tidak mendedahkan bila sempadan negara mereka akan dibuka semula kepada pelawat dari China.
2019-nCov telah menjangkiti hampir 10,000 orang seluruh dunia dan mengorbankan 213 mangsa – kesemuanya di China. WHO baru-baru ini mengumumkan kesilapannya menganggar impak global 2019-nCov.
Mereka kemudiannya memperbetulkannya dengan mengumumkan penularan virus tersebut sudah mencapai tahap kes kecemasan global.
Ini adalah kali pertama Singapura menutup sempadannya atas sebab kesihatan. Ketika penularan kes SARS pada 2003, tiada penutupan sempadan dibuat.
Residen dan rakyat Singapura yang mengunjungi China dibenarkan untuk pulang ke Singapura. Tetapi mereka akan diberi cuti wajib selama 14 hari, di mana mereka digalakkan untuk kekal berada di rumah.
Perdana Menteri Singapura Lee Hsein Loong mengaku penutupan sempadan ini merupakan langkah sukar. “China adalah sumber pelancong Singapura yang sangat besar. Saya jangkakan ekonomi kita akan terjejas kerana ekonomi China juga sedang perlahan kerana wabak ini.”
Jumlah pelancong China ke Singapura sudah pun menjunam 80% sejak penularan wabak 2019-nCov. Industri makanan dan minuman (F&B), pelancongan dan hospitaliti di Singapura terjejas paling teruk angkara wabak ini.