Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa tiada lagi lanjutan untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV) yang telah tamat tempoh sebelum 30 September 2021. Ini menyebabkan orang ramai berpusu-pusu mengunjungi pejabat pos dan menyebabkan berlakunya kesesakan.

Sebenarnya, urusniaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) boleh dilaksanakan secara dalam talian melalui portal MySikap. Bagi pengguna yang mudah untuk mengunjungi mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), anda boleh membuat temujanji mengikut lokasi anda di sini. Selain itu juga, MYEG dan Pos Malaysia selaku rakan strategik JPJ juga turut menyediakan perkhidmatan sama selepas pembukaan semula sektor ekonomi terbabit.

Dan kini, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) akan turut mengambil tanggungjawab yang sama dengan membenarkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Perkhidmatan bermula pada hari ini

Kredit gambar: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1876318

Mulai 1 September 2021, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) akan membenarkan kenderaan persendirian untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) di sana. Sebanyak 39 buah cawangan PUSPAKOM di seluruh Semenanjung bakal diberikan tanggungjawab ini.

Sebelum ini, PUSPAKOM hanya menerima pembaharuan LKM bagi kenderaan barangan dengan berat 7,500 kilogram ke bawah. Inisiatif tersebut telah mula dilaksanakan sejak tahun lalu bagi mengurangkan kesesakan di pejabat pos.

Bagi mereka yang ingin membuat urusan pembaharuan LKM di PUSPAKOM boleh menetapkan janji temu secara dalam talian di laman web ini. Urusan tanpa janji temu (walk-in) tidak dibenarkan atas faktor mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19. Buat masa ini juga, kaedah pembayaran yang diterima di kaunter PUSPAKOM adalah secara tunai.

Penguatkuasaan JPJ akan bermula pada 1 Oktober

Kredit gambar: https://www.bikesrepublic.com/featured/going-the-distance-for-love-not/

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1, 2 dan 3 dan disambung oleh Pelan Pemulihan Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah beberapa kali memberikan kelonggaran bagi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM). Namun begitu, tempoh pengecualian bagi pelanjutan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) tidak disambung lagi selepas 30 September depan.

Aktiviti pemantauan bagi pematuhan dan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilaksanakan di lapangan mulai 1 Oktober depan.