Satu jam setengah, itulah masa yang diambil oleh 4 orang nelayan dalam usaha mereka untuk menaikkan seekor ikan pari gergasi seberat 280kg di Muara Sungai Lundu, Sarawak pada hari Khamis lepas.
Pari gergasi dari spesis urogymnus polylepis yang dianggarkan bersaiz empat meter lebar dengan berat bersamaan lima orang dewasa itu terjerat di pukat yang dipasang oleh nelayan Azeri Hipni bersama tiga orang rakannya yang lain.
“Kami mengambil masa sejam setengah untuk bertarung dengan pari berkenaan dan akhirnya ia tewas sebelum dibawa ke Jeti Nelayan Lundu,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Azeri menambah mereka sudah banyak kali menjerat ikan-ikan pari bersaiz besar tetapi ini adalah kali pertama pari gergasi seperti itu terjerat dalam pukat mereka.
Dia dan rakan-rakan kepenatan kerana saiz ikan itu yang terlalu besar tetapi begitu gembira kerana ia dianggap rezeki yang tidak diduga ketika berpuasa di bulan Ramadan.
Ikan pari spesis urogymnus polylepis ini merupakan ikan pari dengan saiz paling besar di dunia. Menurut laporan National Geographic, spesis pari ini mudah ditemui di perairan Asia Tenggara seperti di Kemboja, Kalimantan, Thailand, Vietnam, Laos, Sabah dan Sarawak.
Sungguhpun begitu, spesis ikan pari gergasi ini turut disenaraikan sebagai salah satu spesis yang terancam. Jumlah pari ini dikatakan semakin berkurangan atas faktor kehilangan habitat asal mereka kerana pembangunan dan penerokaan.
Baca juga artikel menarik kami yang lain: