AEON CO (M) BHD (AEON) meletakkan sasaran awal untuk melatih seramai 100 orang usahawan mikro dari seluruh negara secara percuma menerusi inisiatif PUPUK@AEON menjelang akhir tahun ini. Inisiatif tersebut bakal dilaksanakan menerusi kerjasama AEON dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK merupakan satu daripada inisiatif menyeluruh kerajaan yang bertujuan untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan mikro sehingga 30 peratus.
Seramai 600 individu bakal dipilih untuk mengikuti program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) bermula tahun ini sehingga 2025, dan AEON mengambil tanggungjawab untuk melatih 100 orang daripadanya.
Perjalanan usahawan mikro PUPUK @ AEON
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin, usahawan mikro yang bakal dipilih ini adalah mereka yang terbabit dalam menjalankan perusahaan melalui Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara. Lantas menerusi PUPUK @ AEON, pihaknya beriltizam untuk memperkasakan perusahaan mikro menerusi kaedah pendigitalisasi yang lebih sistematik. Menerusi program ini juga, usahawan akan dibantu dari sudut pemasaran serta jualan dalam talian yang lebih efektif, sistematik dan berdaya saing.
Menurut beliau lagi, AEON akan membuka ekosistem sedia ada untuk memberi peluang pembangunan perniagaan kepada perusahaan mikro terbabit. Peluang pembangunan perniagaan ini bakal merangkumi spektrum penuh pemanfaatan produk jualan dan perkhidmatan AEON. Usahawan mikro ini bakal diberi peluang perniagaan di kedai fizikal dan digital, rangkaian logistik dan saluran komunikasi AEON serta perkhidmatan kewangan melalui AEON Credit Service (M) Bhd.
Program pembangunan usahawan mikro melalui PUPUK @ AEON ini dijangka akan berlangsung selama lima tahun sehingga 2025. Kolaborasi bersama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) ini diharap mampu memperkasakan usahawan kecil ini untuk terus berjaya.
Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK)
Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) yang telah dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini merupakan inisiatif pendigitalan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Program ini melibatkan peruntukkan sebanyak RM200 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta RM100 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Seramai 1,000 usahawan mikro disasar menyertai Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) menjelang Disember tahun ini. Program ini dijangka mampu untuk meningkatkan pendapatan usahawan dengan melebarkan perniagaan mereka melalui digitalisasi. Ketika ini, PUPUK @ Shopee telahpun disertai oleh seramai 549 usahawan mikro yang mengikuti program latihan serta bimbingan di Pusat Internet Komuniti bagi membolehkan mereka beralih daripada perniagaan tradisional ke platform e-dagang.
Program ini menyasarkan kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti yang diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terbabit dalam ekonomi digital. Setakat ini, PUPUK @ Shopee sedang dilaksanakan di 40 buah Pusat Internet Komuniti di seluruh negara yang menyertai projek rintis PUPUK.
Sehingga hari ini juga, terdapat 873 buah Pusat Internet Komuniti di seluruh negara sedang melalui proses naik taraf agar dapat melahirkan lebih ramai usahawan mikro luar bandar.